Home PolitikBarisan Nasional Gambar tulen, tapi lama – Tok Mat

Gambar tulen, tapi lama – Tok Mat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menegaskan gambar beberapa pemimpin tertinggi UMNO bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi tular sejak malam tadi adalah foto lama yang dirakamkan pada September lalu.

Hasan berkata, ia tiada kaitan mengenai desas-desus lebih ramai wakil rakyat dan pemimpin akan keluar dari parti berkenaan.

Katanya, gambar itu diambil tiga bulan lalu ketika beliau dan beberapa pemimpin tertinggi parti bertemu Dr Mahathir bagi menghalang tindakan mengharamkan UMNO.

“Foto itu tiada kaitan dengan insiden Ahli Parlimen di Sabah keluar parti (semalam). Gambar itu sudah lama, kalau tidak silap awal September lalu.

“Tun M (Mahathir) kata Umno akan dibubarkan. Kami merayu kepadanya supaya tidak berbuat demikian,” katanya.

“Itu sebab saya bawa pergi jumpa supaya dapat penjelasan daripada Tun dan minta Tun jangan bubarkan Umno,” jelasnya lagi.

Dalam hantaran di Facebook sebelum ini, Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri,  A Kadir Jasin mengesahkan gambar tular pertemuan perdana menteri dengan pemimpin Umno itu sebagai tulen dan berlangsung pada Oktober.

 

Gambar Perdana Menteri (tengah) bersama (dari kiri) Tengku Adnan, Hamzah Zainuddin, Mohamad Hassan, Shahidan Kassim, Noh Omar dan Yahya Jalil yang tular sejak malam tadi.

 

Gambar pemimpin berkenaan sedang menikmati makan malam juga turut ditularkan.

Ia menarik perhatian ramai pengguna laman sosial dan ada yang mendakwa ia adalah bukti ada pemimpin UMNO yang mahu keluar parti dan ada juga menganggap mereka mahu meminta pertolongan daripada Dr Mahathir.

Selain itu, ia turut menimbulkan spekulasi kononnya beberapa pemimpin UMNO kini dalam persiapan untuk keluar parti berkenaan.

Menerusi foto yang tersebar itu, Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Shahidan Kassim kelihatan tersenyum bergambar dengan Dr Mahathir.

Related Articles

Leave a Reply