Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM rampas 123kg daun ketum

ATM rampas 123kg daun ketum

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 8 Dis – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 123kg daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM11,000 berhampiran batu sempadan 34, dekat Bukit Kayu Hitam petang semalam.

Memetik laporan Bernama, Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, daun ketum itu dirampas di sebuah bangsal ketika pasukan keselamatan tersebut membuat rondaan bermotosikal kira-kira 1 petang.

“Kumpulan ronda dari Batalion Ke-16 Rejimen Askar Melayu Diraja (16 RAMD) yang diketuai oleh Mejar Mohammad Redzuan Jaffar ternampak sebuah bangsal yang mencurigakan ketika sedang melakukan rondaan bermotosikal.

“Ketika menghampiri bangsal itu, pasukan tersebut melihat dua orang awam sedang memasukkan bungkusan hitam ke dalam guni putih sebelum melarikan diri ke dalam hutan apabila menyedari tindakan mereka disedari pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui satu guni putih dan empat plastik hitam berisi daun ketum yang diikat rapi dipercayai untuk diseludup keluar ke negara jiran.

Kesemua daun ketum dirampas itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut, katanya.

Related Articles

Leave a Reply