Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia-Indonesia tingkatkan kerjasama keselamatan dan sosioekonomi

Malaysia-Indonesia tingkatkan kerjasama keselamatan dan sosioekonomi

by M.Daim

Bali, 15 Nov – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat ke-41 Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Indonesia (General Border Committee Malaysia-Indonesia – GBC MALINDO) bersama rakan
sejawatnya, Menteri Pertahanan Republik Indonesia, Jeneral (B) Ryamizard Ryacudu.

Dalam mesyuarat tersebut, kedua-dua Menteri Pertahanan telah memberi komitmen untuk terus meningkatkan
kerjasama keselamatan dan sosio ekonomi di sepanjang kawasan sempadan kedua-dua negara.

Antara isu penting yang dibincangkan ialah peningkatan operasi bersama dan pertukaran maklumat untuk memberi keyakinan kepada penduduk di kawasan sempadan.

Turut dibincangkan adalah usaha-usaha untuk meningkatkan kerjasama dan memperkasakan hubungan dua hala untuk mengelakkan kawasan sempadan bersama dieksploitasi, dan menangani apa-apa masalah keselamatan bersama.

“Keselamatan sempadan yang kukuh dapat menjamin pembangunan sosio-ekonomi kedua-dua negara menjadi antara fokus utama mesyuarat kali ini,” kata Mohamad di akaun media sosial rasminya, hari ini.

Mesyuarat tersebut turut berpuas hati terhadap kemajuan semua aktiviti yang dijalankan oleh Jawatankuasa Tertinggi (High Level Committee), Jawatankuasa Kawalan Operasi Bersama (Coordinated Operations Control Committee), Jawatankuasa Latihan Bersama (Joint Training Committee), Jawatankuasa Sosioekonomi, dan Jawatankuasa Kerjasama
Polis (Joint Police Cooperation Committee).

Di akhir mesyuarat tersebut kedua-dua Menteri Pertahanan telah menandatangani Risalah Sidang ke-41 GBC MALINDO.
Lawatan kerja oleh Menteri Pertahanan bersempena mesyuarat ke-41 GBC MALINDO merupakan satu landasan yang baik untuk meningkatkan hubungan sedia ada Malaysia dan Indonesia.

Lawatan ini secara tidak langsung menjadi faktor utama demi menjamin kestabilan, keamanan dan kemakmuran serantau.
Mesyuarat GBC MALINDO diadakan setahun sekali bersilih ganti antara Malaysia dan Indonesia.

 

Perbincangan ringkas antara delegasi Malaysia dan Indonesia. Foto: Kementerian Pertahanan Malaysia

 

Related Articles

Leave a Reply