Home Semasa Hubungan Malaysia-Jepun pada kedudukan paling kukuh

Hubungan Malaysia-Jepun pada kedudukan paling kukuh

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 11 Nov – Tiga kunjungan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun baru-baru ini dalam tempoh lima bulan telah meletakkan hubungan Malaysia-Jepun pada kedudukan paling kukuh, yang amat menggembirakan rakyat kedua-dua negara.

Dr Mahathir membuat lawatan rasmi pertamanya ke luar negara pada Jun, tidak lama selepas menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dan Jepun menjadi destinasi pilihan pertamanya.

Semasa 22 tahun berkhidmat kali pertama sebagai perdana menteri bermula 1981, beliau tidak kenal lelah untuk lebih 100 kali ke Jepun terutama untuk mempromosikan Dasar Pandang Ke Timur beliau.

Cetusan idea Dr Mahathir ini merupakan satu daripada inisiatif dasar luar negara yang paling berjaya Malaysia laksanakan, dan hasilnya, Jepun adalah pelabur asing terbesar dan terawal di negara ini serta meningkatkan lagi peranan ekonomi dan bantuannya di Malaysia.

Daripada Dasar Pandang Ke Timur ini, apa yang paling diimpikan oleh Dr Mahathir adalah supaya Malaysia dapat mempelajari dan mengamalkan etika kerja serta sistem nilai rakyat negara matahari terbit itu sehingga mendorong Jepun dari sebuah negara tanpa sumber semula jadi kepada satu kuasa ekonomi utama dunia.

Malaysia menghantar lebih 16,000 pelajar dan pelatih ke Jepun sejak bertahun-tahun selepas dasar itu diperkenalkan dan rakyat Malaysia yang terlatih di Jepun ini telah melakukan perbezaan di tempat kerja mereka.

Bagaimanapun, lawatan terbaru Dr Mahathir ke Jepun, adalah yang paling menarik serta menjadi tumpuan dan tidak dapat dinafikan yang paling berhasil.

Jepun menyedari kerajaan Malaysia sebelum ini yang diterajui Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengetepikan Dasar Pandang Ke Timur dan Najib sendiri jarang sekali melawat Jepun dalam tempoh sembilan tahun sebagai perdana menteri tetapi sebaliknya lebih cenderung ke arah China.

“Pentadbiran kerajaan Malaysia sebelum ini  lebih condong ke arah China sebelum Dr Mahathir mengambil alih tampuk pemerintahan pada Mei di mana beliau telah menyusun semula dasar luar Malaysia dan meningkatkan kerjasama diplomatik dengan Jepun,” menurut seorang pegawai Kementerian Luar Jepun.

Kekerapan lawatan perdana menteri ke destinasi negara yang paling disukainya itu adalah isyarat paling jelas bahawa Dasar Pandang Ke Timur kini bertambah baik dan telah dihidupkan sekali lagi.

Selepas kerajaan baharu Pakatan Harapan berkuasa pada Mei, ia menangguhkan projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Malaysia dan Singapura yang China juga berminat untuk membina, berikutan hutang kerajaan yang semakin meningkat dan kos projek yang tinggi.

Semasa melawat Beijing pada Ogos, Dr Mahathir memberi amaran terhadap ‘penjajahan versi baharu’ yang jelas merujuk kepada inisiatif Belt and Road China untuk membina infrastruktur di pelbagai negara termasuk di Asia.

Kali ini di bawah Dasar Pandang Ke Timur yang diberi nafas baharu, perdana menteri berkata Malaysia akan melihat keseluruhan sistem pendidikan Jepun, bermula dari peringkat tadika hingga ke pendidikan tinggi di universiti.

Pergerakan ke arah ini sangat pantas di mana  tiga institusi pengajian tinggi Jepun telah mendedahkan rancangan untuk menubuhkan cawangan di Malaysia.

Tsukuba University, salah sebuah  universiti penyelidikan terkemuka di Jepun, dijangka akan bermula pada 2020 manakala Nippon Designers School seawal tahun depan. Turut berminat untuk membuka cawangannya di sini, Ritsumeikan Asia Pacific University.

Susulan lawatannya yang terbaharu, Jepun juga telah bersetuju untuk membantu Malaysia dalam menangani hutang luar negeri yang besar yang terkumpul oleh kerajaan terdahulu yang bernilai melebihi RM1 trilion.

Kerajaan Jepun menawarkan jaminan penerbitan bon Samurai sehingga 200 bilion Yen (RM7.4 bilion) bagi tempoh 10 tahun. Penerbitan bon dalam denominasi yen itu, akan dijamin Japan Bank of International Cooperation pada kadar kupon indikatif 0.65 peratus dan dijangka diterbitkan sebelum Mac tahun depan.

Malaysia pertama kali meminta pinjaman Yen semasa pertemuan pertama Dr Mahathir dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe pada Jun.

Bon murah itu sudah pasti amat berguna bagi Malaysia untuk melangsaikan sebahagian pinjaman berkos tinggi yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.

Abe juga turut menzahirkan kemungkinan lebih banyak bon sedemikian ditawarkan pada masa akan datang untuk meredakan masalah kewangan Malaysia. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply