Pasukan keselamatan seperti polis dan Pasukan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) komited memastikan perairan ESSZone sepanjang 1,400 kilometer (km) berada dalam keadaan selamat, ujar beliau.

“Pasukan keselamatan yang ditempatkan di lokasi berkaitan bersedia dengan sebarang kemungkinan. Kita menganggap apa sahaja maklumat berkaitan cubaan melakukan penculikan dan serangan di perairan negara adalah serius.

“Kesiapsiagaan pasukan keselamatan di kawasan perairan setakat ini amat baik dan kita tidak akan membenarkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya ketika ditemui selepas hadir Program Ujian Kemahiran Menembak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di sini semalam.

Turut Hadir, program tersebut adalah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

Terdahulu, pada penghujung Oktober lalu, sebuah portal online, Marine Link mendedahkan 10 ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf merancang melakukan aktiviti penculikan di kawasan terpencil di Sabah.

Portal berkenaan melaporkan Pusat Perkongsian Maklumat (ISC) Pusat Perjanjian Kerjasama Wilayah Memerangi lanun dan Rompakan Ke Atas Kapal Asia (ReCAAP) menerima maklumat itu daripada pasukan keselamatan Filipina baru-baru ini.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali tidak menafikan laporan portal tersebut dan bertegas kawasan perairan negara dalam keadaan yang selamat.