Home Semasa Penjawat awam harus beri kesetiaan tidak berbelah bahagi – KSN

Penjawat awam harus beri kesetiaan tidak berbelah bahagi – KSN

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 30 Okt – Anggota perkhidmatan awam harus berpegang pada prinsip taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada negara, Yang di-Pertuan Agong dan kerajaan yang memerintah, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Beliau berkata anggota perkhidmatan awam memikul satu tanggungjawab besar dalam memastikan bahawa segala urusan kerajaan adalah berpandukan ‘rule of law’ dan amanah serta kewajipan ditunaikan dengan penuh taat setia.

“Dalam apa jua tugas yang dilaksanakan, adalah penting melaksanakannya dengan penuh taat, beramanah dan berintegriti serta jangan sesekali mengutamakan kepentingan diri sendiri atau kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Pastikan semua urusan kerajaan berjalan atas prinsip pemisahan kuasa dan ini bermakna segala tindakan atau keputusan yang diambil haruslah berpandukan peraturan yang telah digubal,” katanya ketika berucap pada istiadat penganugerahan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (DPA) dan Felo Intan di sini hari ini.

Ismail berkata pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) bertanggungjawab menyahut cabaran membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mampu kembali menjadi ‘Harimau Asia’ seperti yang ditetapkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

”Semua penjawat awam dan PTD khususnya harus bekerja lebih keras lagi untuk memperbaiki kedudukan Malaysia bagi meningkatkan kemasukan pelaburan terus asing yang seterusnya akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia boleh menjadi Harimau Asia semula dengan sambutan pelabur asing yang berjanji mahu melabur ke negara ini.

Seramai 395 graduan dianugerahkan Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi tempoh 2015-2018 dan Ketua Setiausaha wanita yang pertama di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Arpah Abdul Razak merupakan penerima anugerah Felo Intan pada sesi kali ini.- Bernama

Related Articles

Leave a Reply