Home Semasa Landasan berkembar elektrik Gemas-JB mampu tingkat pembangunan Renggam

Landasan berkembar elektrik Gemas-JB mampu tingkat pembangunan Renggam

by Nurulhuda

KLUANG, 28 Okt – Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) yang turut merentasi Pekan Renggam, di sini, diyakini mampu meningkatkan pembangunan dan ekonomi kawasan berkenaan.

Anggota Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik berkata apabila siap kelak pada 2021, projek itu sekali gus merubah landskap pekan itu yang kini dianggap ‘pekan mati atau zombie’ termasuk menarik kemasukan pelancong.

“Apabila stesen kereta api ini ‘hidup’, pekan Renggam akan jadi bandar baharu dan bukan lagi ‘bandar mati’.

“Terima kasih MOT (Kementerian Pengangkutan) dan YTL (kontraktor) yang mendengar isi hati kita (penduduk Renggam),” katanya berucap pada majlis taklimat PLBEGJB bersama orang awam, di Renggam, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Menteri Pengangkutan, Datuk M Jana Santhiran; Ketua Unit PLBEGJB, Noor Azman Ramlee dan Ketua Pegawai Eksekutif YTL Construction Sdn. Bhd, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Menurutnya, sebelum ini juga pembayaran sagu hati telah dilakukan oleh kerajaan kepada penduduk yang menduduki tanah rizab Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi membolehkan projek ini berjalan lancar.

“Projek ini melibatkan jajaran sepanjang 192 KM dan akan melalui 11 stesen dan di Parlimen Simpang Renggam sahaja, terdapat dua stesen yang akan dilalui iaitu di Renggam dan Layang-Layang.

“Daripada apa yang dimaklumkan kepada saya, stesen-stesen baharu yang akan dibina ini berkonsepkan identiti Johor dan ini adalah salah satu nilai tambah yang positif kepada daerah ini,” katanya.

Sementara itu, Noor Azman dalam sidang media berkata, apabila projek ini siap sepenuhnya, KTMB dijangka akan memperkenalkan 22 jenis perkhidmatan dalam satu hari berbanding hanya empat perkhidmatan sahaja ketika ini.

Katanya, kerajaan juga turut akan memperkenalkan perkhidmatan tren berkuasa elektrik sama ada ekspres atau transit dengan kelajuan maksimum 160 KMJ dengan satu tren boleh memuatkan kapasiti seramai 340 penumpang.

“Kami juga amat menitikberatkan aspek keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan projek dan sebab itu, kebanyakan barang-barang binaan dibawa menaiki gerabak kereta api dan kami cuba mengelakkan guna jalan alternatif.

“Pada masa akan datang, kerajaan bercadang untuk menambah bilangan stesen iaitu di Tenang, Chamek dan Senai sekiranya terdapat permintaan dan berharap projek ini dapat membawa pertumbuhan bandar-bandar baharu,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply