Home Semasa Najib,Irwan berdepan enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM 6.6 bilion

Najib,Irwan berdepan enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM 6.6 bilion

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 25 Okt – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dijangka didakwa dengan enam pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.

Bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid juga akan berhadapan dengan satu pertuduhan yang sama melibatkan dana kerajaan berjumlah USD12.1 juta.

Menurut senarai kes mahkamah, kes mereka akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Difahamkan, Najib dan Mohd Irwan Serigar akan didakwa bersama atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan antara Disember 2016 dan Disember 2017, manakala Hasanah didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara April 2018 dan Mei 2018.

Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen).

Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, akan mengetuai pasukan pendakwaan.

Wartawan telah berkumpul di kompleks mahkamah seawal 6.30 pagi dan mereka beratur dalam dua barisan untuk pendaftaran masuk ke bilik mahkamah dan bilik siaran video bagi membuat liputan prosiding.

Mahkamah menyediakan 21 pas untuk wartawan tempatan dan asing memasuki bilik mahkamah dan 40 pas untuk wartawan melihat prosiding dari bilik siaran video. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply