Home Semasa Tiada bukti warga ATM terlibat sebagai pengundi hantu PKR

Tiada bukti warga ATM terlibat sebagai pengundi hantu PKR

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 22 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tiada kepentingan dan tidak mungkin terlibat sebagai pengundi hantu dalam pemilihan dalaman parti Pakatan Keadilan Rakyat (PKR).

Sumber ATM yang enggan dikenali turut memaklumkan bahawa sehingga kini tiada sebarang laporan rasmi kepada pihak ATM yang menyatakan secara jelas butir-butir anggota yang dikatakan terlibat mahupun termasuk bukti identiti yang kononnya milik anggota tentera tersebut.

Menurut laporan MalaysiaKini yang disiarkan semalam, beberapa orang anggota ATM dituduh terlibat secara haram sebagai pengundi hantu bagi memenangkan sesetengah pihak yang bertanding.

“Ini adalah satu tindakan untuk memburukkan nama ATM,” menurut sumber itu lagi.

Sebelum itu, seorang pengadu telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara mendakwa 7 orang lelaki Melayu telah masuk ke dewan untuk membuang undi ketika pemilihan PKR Cabang PJ Utara dengan membawa slip keahlian yang disyaki palsu.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika dihubungi, menyatakan siasatan masih belum selesai dan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu tersebut. Pihak polis dijangka menyelesaikan siasatan menjelang awal minggu hadapan.

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply