Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat harus tingkat cara latihan perang – Stephen Mundaw

Tentera Darat harus tingkat cara latihan perang – Stephen Mundaw

by Air Times News Network

MIRI, 21 Okt – Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw berkata, sudah tiba masanya untuk Tentera Darat (TD) meningkatkan cara latihan peperangan termasuk menggunakan taktikal bandar sejajar dengan keadaan dan perubahan masa kini.

Menurut beliau, ini penting sebagai persediaan untuk anggota TD agar mereka mampu mendepani sebarang situasi atau kemungkinan yang berlaku sama ada di dalam kawasan hutan mahupun bandar.

“Ini bermaksud mungkin kita boleh membuat ‘fighting in build-up area’ (FIBUA) kerana ini adalah satu-satunya kepakaran yang sangat diperlukan pada masa ini.

“Kita boleh tengok apa yang berlaku di Marawi (Filipina) dan sebagainya yang mana memerlukan kemahiran berbeza selain yang lazim dilakukan kita selama ini iaitu mengadakan operasi di dalam hutan,” ujarnya.

Stephen menegaskan demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Pembukaan Eksesais Malbru Setia Siri 14/2018 yang berlangsung di padang kawad Batalion 20 (BN20) Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Sri Miri di sini, dua hari lepas.

Hadir sama Timbalan Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) Kolonel Damit Bakar dan Panglima 9 Briged Brigedier Jeneral Shamsirudin Mohd Shariff.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Stephen berkata, eksesais Malbru merupakan satu platform terbaik untuk para anggota dari kedua-dua negara menjalani latihan bersama.

Selain itu, ujar beliau, latihan sedemikian juga merupakan sebahagian daripada usaha untuk mengeratkan lagi hubungan kerjasama yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Brunei.

“Melalui eksesais ini juga kita berharap dapat melihat atau menilai tahap kesiapsiagaan kita untuk bersedia melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan dan jika diperlukan,” katanya.

Sehubungan itu, Stephen menasihati semua anggota yang terlibat dalam eksesais bersama itu agar memanfaatkan kesempatan tersebut untuk meningkatkan kefahaman antara satu sama lain, selain berkomunikasi dan bertukar-tukar pengalaman dan pengetahuan.

Pada masa sama, beliau mengingatkan anggota terlibat supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan aset pasukan meskipun latihan diadakan di kawasan medan (latihan).

“Ini adalah peluang terbaik supaya nanti di akhir latihan, kita dapat mempertingkatkan atau mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) antara Tentera Darat Malaysia dan TTDB,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 59 pegawai dan 797 anggota lain-lain pangkat terlibat dalam Eksesais Malbru Setia Siri 14/2018 yang bermula semalam dan akan berakhir pada 25 Oktober ini.

Untuk rekod, Eksesais Malbru Setia merupakan satu latihan bersama yang diadakan secara dwitahunan di antara TD Malaysia dan TTDB dengan lokasi eksesais dibuat secara penggiliran dan dikenali sebagai Malbru untuk penganjuran di Malaysia dan Brumal di Brunei.

Terdahulu, pada acara perbarisan itu turut diadakan pemakaian toha kepada beberapa pegawai yang terlibat dalam eksesais itu oleh Stephen dan Damit.

Related Articles

Leave a Reply