Home Semasa Anak Sarawak perlu terus usaha bangunkan negeri biarpun keadaan berbeza

Anak Sarawak perlu terus usaha bangunkan negeri biarpun keadaan berbeza

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Anak-anak Sarawak diingatkan supaya meneruskan usaha membangunkan negeri itu walaupun berhadapan dengan keadaan yang berbeza berikutan perubahan di peringkat pentadbiran kerajaan pusat.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sekiranya anak jati Bumi Kenyalang terus bekerja keras, mereka mampu untuk mengangkat martabat Sarawak lebih tinggi.

“Tahun ini (corak pentadbiran) berubah sedikit daripada tahun lepas kerana tahun ini kita mempunyai pertukaran kerajaan di peringkat pusat dan Sarawak ditadbir dan diuruskan sendiri oleh parti-parti anak Sarawak iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Dengan adanya asas yang kuat ini, InsyaAllah kita akan meneruskan usaha, walaupun keadaan sudah berubah. Kita terpaksa melaksanakannya, sesuai dengan perubahan yang kita lihat pada hari ini dan teknologi terkini bagi melonjakkan lagi pembangunan negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup program “Lan Berambeh Anak Sarawak 2018’ di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini semalam.

Turut hadir  Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib.

Lebih 8,000 anak-anak Sarawak di Semenanjung menyertai program Lan Berambeh yang bertemakan “Kamek Sayang Sarawak”.

Pada majlis itu, Abang Johari turut melancarkan aplikasi mudah alih dikenali ‘Sarawak Pavilion’ bagi menghubungkan usahawan Sarawak kepada pasaran tempatan dan antarabangsa. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply