Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi berkata, soal keselamatan negara adalah perkara yang tidak boleh dikompromi dan beliau meyakini kerajaan akan memberikan keutamaan dalam hal berkenaan.

Menurut beliau, aspek keselesaan dan kebajikan juga perlu dititik beratkan selain kesiagaan aset dan perajurit kerana ia dapat mempengaruhi moral pegawai dan anggotanya.

“Kita mohon perkara-perkara yang membolehkan kita melaksanakan tugas. Bukan mahu keselesaan ketika bertugas tetapi keselesaan yang membolehkan kita buat tugas demi negara.

“Saya percaya kerajaan pun ada keutamaan dia. Mana yang melibatkan keselamatan yang tidak boleh kompromi, saya percaya kerajaan akan beri keutamaan kerana kita bekerja untuk kepentingan negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini, hari ini.