Home Politik Anak bekas pemimpin Melayu DAP dipecat

Anak bekas pemimpin Melayu DAP dipecat

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Okt – DAP memecat timbalan pengerusi biro buruhnya Amran Ahmad Nor selepas beliau menyerang parti sendiri bermula beberapa hari menjelang pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Anak kepada bekas naib pengerusi DAP Ahmad Nor mengumumkan perkara itu di Facebook beliau dengan memuat naik salinan surat pemecatan.

Surat bertarikh 15 Oktober itu ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Ching Cheng Jen.

Pemecatan itu berkuat kuasa serta merta. Bagaimanapun Amran dibenarkan merayu dalam tempoh 14 hari.

“Saya menerima keputusan DAP itu dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu atas sebab-sebab yang akan saya huraikan di bawah.

“Dengan penerimaan surat pemecatan itu, saya beranggapan, selain keahlian dalam parti selama hampir 10 tahun itu ditamatkan, saya juga ‘kehilangan’ jawatan timbalan pengerusi biro buruh DAP,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Amran yang menyertai DAP sekitar 2009 berkata, beliau dipecat kerana mengkritik tindakan DAP menyebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum PRU14.

“Apa salah saya menegakkan kebenaran dan mengkritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang kononnya menjadi tunjang perjuangan DAP.

“Saya menganggap bahawa tindakan pemecatan saya dari DAP ini sebagai suatu pengkhianatan dan tindakan tidak mengenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada tahun 1986 dan menjadi ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP,” katanya.

Beliau berkata, biarpun dipecat, perjuangannya menjadikan Malaysia negara yang lebih baik atas platform lain akan tetap diteruskan.

“Biar mati berdiri, dari hidup melutut pada parti yang cauvinis dan sangat perkauman ini.

“Semoga apa yang menimpa saya ini membuka mata rakyat negara ini terutama orang Melayu yang menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dengan DAP,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply