Home Semasa MCA tetap dengan pelan A untuk kekal di Kinrara Oval

MCA tetap dengan pelan A untuk kekal di Kinrara Oval

by Nurulhuda

PUCHONG, 17 Okt – Persatuan Kriket Malaysia (MCA) tidak bercadang menggunakan pelan B dalam menyelamatkan gelanggang mereka – Kinrara Oval di Puchong.

Presiden MCA, Mahinda Vallipuram berkata, buat masa ini pihaknya hanya akan kekal dengan pelan untuk terus kekal di gelanggang sedia ada walaupun mendapat tekanan daripada pihak pemaju.

Pada Sabtu lalu, dilaporkan Kinrara Oval yang dibangunkan di atas tanah seluas 5 hektar mahu dituntut semula oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkuatkuasa 31 Oktober nanti.

Mahinda, yang mengadakan sidang media di gelanggang itu semalam, berkata beliau optimis perbincangan dengan beberapa pihak akan beroleh keputusan yang positif.

“Buat masa ini, kami masih kekal dengan pelan A untuk kekal di sini dan melihat apa yang kami boleh lakukan kerana saya fikir belum sampai masanya untuk pergi ke pelan B.

“Kami merasakan perkara ini masih boleh dibawa berbincang.

“Saya fikir kami hanya perlu memberi masa kepada Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) untuk berbincang. Sudah lama isu ini membelenggu kami.

MCA diminta mengosongkan Kinrara Oval yang mana ia turut mempunyai kemudahan seperti ibu pejabat, asrama pemain dan gelanggang latihan.

Namun, kemudahan dibangunkan di atas tanah pajakan bermula 2005 itu sampai ke penghujungnya selepas tuan tanah menuntut semula tanah terbabit berkuat kuasa 31 Oktober nanti.

“Kami sedang mengajak semua pihak untuk duduk berbincang,” kata Mahinda yang mendedahkan pihaknya kini berasa lebih tenang selepas dapat bertemu Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, Mahinda berkata buat masa ini pihaknya belum dapat mengesahkan tarikh pertemuan seterusnya membabitkan Kementerian Belia dan Sukan, MCA dan pemaju.

MCA sudah melabur jutaan ringgit dalam membangunkan infrastruktur Kinrara Oval bagi memastikan kualiti gelanggang itu mencapai standard antarabangsa.

Malah, gelanggang itu pernah menjadi tuan rumah kepada beberapa kejohanan utama termasuk Piala Dunia Bawah-19 tahun pada 2008.

Semalam, Kejohanan Innternational Air Force Cricket Challenge 18 (IAFCC’ 18) telah berlangsung di Stadium Kriket Kinrara, Punchong yang melibatkan Tentera Udara daripada negara anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA).

Related Articles

Leave a Reply