Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Brig Jen Johnny Lim Panglima 31 Briged yang baharu

Brig Jen Johnny Lim Panglima 31 Briged yang baharu

by Nurulhuda

SIBU, 17 Okt – Briged Ke-31 Infantri semalam menerima panglima baharu iaitu Brigedier Jeneral Johnny Lim Eng Seng yang menggantikan Mejar Jeneral Datuk Fadzil Tajuddin yang akan bersara tidak lama lagi.

Upacara serah terima tugas antara kedua-duanya disaksikan Panglima 1 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Toh Choon Siang di Padang Kawad Kem Junaco, di sini.

Seramai 21 Pegawai dan 220 Anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam perbarisan upacara serah terima tugas itu.

Dalam ucapannya, Fadzil berkata satu tahun sembilan bulan, 15 hari adalah tempoh yang cukup bermakna buat beliau selepas diberi kepercayaan menggalas tugas Panglima 31 Briged Infantri bermula 4 Januari tahun lepas.

“Dalam tempoh yang singkat itu, saya akui tidak banyak perkara yang dapat dilaksanakan dalam mempertingkatkan keupayaan Briged RS, sama ada dari segi sumber manusia, logistik mahupun kebajikan anggota dan keluarga.

“Namun demikian, saya amat berbangga kerana semua warga briged ini masih bersabar bersama saya dan meneruskan tugas seharian tanpa melakukan perkara-perkara yang memudaratkan disiplin, di samping menjaga imej pasukan dan kesatuan,” jelasnya.

Beliau berharap semua warga 31 Briged Infantri sentiasa bersama kepimpinan baharu untuk memastikan briged itu terus relevan dan maju jaya.

“Walaupun dalam masa dua tahun berada di Bumi Kenyalang, tidak dapat dinafikan Briged Ke-31 Infantri telah banyak melaksanakan khidmat bakti membantu masyarakat awam di negeri ini.

“Justeru, kekalkan momentum ini serta pertingkatkan lagi kesungguhan kita semua bagi memastikan briged ini dikenali sebagai satu ketumbukan ‘Cekal Waja’,” tegasnya.

Turut hadir Pengusaha Kem Junaco Park Kiu Siong Hii serta yang lain.

Related Articles

Leave a Reply