Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat ATM rampas daun ketum bernilai RM113,000

ATM rampas daun ketum bernilai RM113,000

by Air Times News Network

ALOR SETAR, 17 Okt – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Batalion Kedua Rejimen Sempadan merampas 1,324 kilogram daun ketum bernilai RM113,000 serta menahan enam lelaki warga Thailand dalam dua operasi berasingan berhampiran Pos Sahara di Padang Terap, semalam.

Panglima 6 Briged, Brig. Jen Datuk Abdul Aziz Ismail berkata dalam serbuan pertama pada 3.15 pagi, pihaknya merampas sembilan guni putih berisi 269 kilogram daun ketum bernilai RM18,000 yang ditemui di kawasan semak di lokasi berhampiran.

“Anggota yang membuat rondaan menemui lima guni daun ketum itu di kawasan semak, tidak lama kemudian empat lelaki tidak dikenali berusia 24 hingga 43 tahun yang bermotosikal kelihatan membawa empat guni putih lagi sebelum mereka ditahan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Melalui serbuan kedua pada pada 2.30 petang, sebanyak 1,055 kg daun ketum bernilai RM95,000 dirampas daripada dua lelaki berusia 31 dan 35 tahun.

“Dua lelaki itu ditemui bersama kenderaan pacuan empat roda warna hitam dalam keadaan mencurigakan sebelum pasukan rondaan membuat serbuan dan menemui sejumlah plastik hitam berisi daun ketum di dalam Pajero yang dipercayai untuk diseludup keluar ke Thailand,” katanya.

Kesemua enam warga Thailand itu dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk sisatan lanjut. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply