Home Semasa Bekas pengawal keselamatan dihukum gantung, bunuh wanita dalam pantang

Bekas pengawal keselamatan dihukum gantung, bunuh wanita dalam pantang

by Nurulhuda

SHAH ALAM, 15 Okt – Seorang bekas pengawal keselamatan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh seorang wanita sedang berpantang, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman itu ke atas Mohd Azmirul Shamsuddin, 39, selepas berpuas hati dengan pihak pendakwaan yang berjaya membuktikan kes prima facie manakala pembelaan hanyalah bersifat penafian semata-mata.

Mohd Azmirul yang berada dalam kandang tertuduh hanya diam dan tidak menunjukkan sebarang respons ketika hakim menjatuhkan hukuman tersebut.

Mengikut pertuduhan, Mohd Azmirul didakwa menyebabkan kematian Rabiatul Adawiah Abd Aziz, 23, di sebuah apartmen di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira 8.22 malam pada 4 Mac 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim manakala tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Mohd Hilmi.

Sebanyak 14 saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan kes manakala hanya satu saksi dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Media sebelum ini melaporkan wanita itu yang baru sahaja dua bulan melahirkan anak dijumpai mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta mulut disumbat, bersebelahan bayi perempuannya namun dia tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

l

Related Articles

Leave a Reply