Home Politik Anwar angkat sumpah sebagai MP Port Dickson

Anwar angkat sumpah sebagai MP Port Dickson

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 15 Okt – Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Anggota Dewan Rakyat, hari ini.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Sabtu lalu, Anwar menang besar dengan majoriti 23,560 undi menewaskan enam calon lain terdiri daripada parti PAS serta Bebas.

Majlis pada 10 pagi itu turut dihadiri hampir 600 penyokong Anwar yang menyaksikan perjalanan detik bersejarah berkenaan menerusi siaran langsung di luar dewan.

Tepukan gemuruh jelas kedengaran sebaik sahaja Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) itu mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Kepulangan Anwar ke Parlimen kali ini juga lebih manis dan bermakna kerana disaksikan bersama isterinya merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak sulungnya, Nurul Izzah Anwar yang juga merupakan Ahli Parlimen.

Berdasarkan rekod, majlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen itu adalah kali ketujuh buat Anwar, sejak kemenangan sulungnya di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982 dengan menyertai UMNO.

Related Articles

Leave a Reply