Home Semasa Cadangan ruang khas merokok di premis makanan akan dibincang

Cadangan ruang khas merokok di premis makanan akan dibincang

by Pasri Asyraf

GOPENG, 14 Okt – Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan pengusaha premis makanan dalam masa terdekat sebelum membuat keputusan berhubung cadangan penyediaan ruang khas merokok susulan larangan merokok di semua premis makanan mulai 1 Jan depan.

Timbalan Menterinya Dr Lee Boon Chye bagaimanapun berkata pihak kementerian sama sekali tidak menggalakkan ruang khas merokok itu diwujudkan kerana perlu mengutamakan kesihatan orang ramai terutamanya di tempat awam.

“Kita akan berbincang dengan pengusaha (premis makanan) supaya mereka faham dengan hasrat kementerian (menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan) untuk menjaga kesihatan.

“Kita perlu mengutamakan hak individu yang tidak merokok supaya mereka bebas daripada asap rokok kerana kita semua tahu merokok itu memudaratkan kesihatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Perdana Cegah Denggi di Padang Medan Pengkalan Mutiara di sini, hari ini.

Terdapat cadangan beberapa pengusaha premis makanan yang mahu menyediakan ruang khas merokok bagi memudahkan pelanggan merokok tanpa mengganggu pelanggan bukan perokok lain.

Kementerian Kesihatan sebelum ini mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis di negara ini termasuk warung di tepi jalan, termasuk tindakan turut diambil terhadap perokok berkuat kuasa 1 Jan tahun depan dan cadangan itu sudah diluluskan kerajaan.

Berhubung kes keracunan makanan yang dikatakan berpunca daripada laksa yang dibeli di sebuah kedai makan di Baling, Kedah, Dr Lee berkata hasil analisis sampel makanan yang diambil di premis terbabit akan diketahui selewat-lewatnya Selasa depan.

Katanya sekiranya terbukti laksa itu menjadi punca kes keracunan makanan itu, pengusaha premis itu boleh diambil tindakan dan menurutnya siasatan turut dilakukan terhadap pembekal laksa serta bahan-bahan laksa yang lain seperti sayur-sayuran.

Pada Khamis, pemilik gerai laksa itu berkata pihaknya menimbangkan untuk menyaman Kementerian Kesihatan kerana kenyataan yang dikeluarkan mengelirukan serta memberi gambaran buruk seolah-olah laksa yang dijualnya sah beracun sedangkan keputusan sampel laksa yang dihantar ke makmal belum diketahui.

Bilangan kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan laksa itu meningkat kepada 83 orang, termasuk dua kematian susulan tiga kes baharu dilaporkan di Perak pada Jumaat lepas.

Terdahulu, Dr Lee dalam ucapannya berkata kes denggi di seluruh negara sejak awal tahun ini merekodkan sebanyak 56,608 kes setakat ini dan berharap ia mencatatkan penurunan menerusi program cegah denggi.
– BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply