Home Semasa Sindiket rokok seludup terbesar tumpas

Sindiket rokok seludup terbesar tumpas

by Nurulhuda

MERSING, 12 Okt – Polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket penyeludupan kontraban berpusat di daerah ini dengan merampas sejumlah rokok dan kenderaan bernilai RM9 juta dalam beberapa serbuan di negeri ini, Rabu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Komisioner Polis Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata ini merupakan rampasan kontraban terbesar di Malaysia setakat ini serta melibatkan penahanan ramai suspek iaitu seramai 23 orang.

Pada serbuan melibatkan sebuah kilang di Felda Tenggaroh 2, Mersing; sebuah rumah kediaman di Taman Johor Jaya, Johor Bahru; dan sebuah kilang di Nusajaya, Iskandar Puteri, pihaknya turut merampas 1,332 kotak rokok seludup pelbagai jenama, lima buah lori dan 19 buah motokar melibatkan pelbagai kenderaan mewah seperti Vellfire.

“Kita juga menemui wang tunai bernilai RM9,645 dan empat biji pil Eramin 5. Kita anggarkan rokok sahaja bernilai RM6 juta manakala kenderaan yang dirampas bernilai RM3 juta,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing, di sini hari ini.

Pada serbuan itu juga, seramai tujuh lelaki warga tempatan dan 16 warganegara Indonesia ditahan, berumur antara 24 hingga 46 tahun.

Menurut Acryl Sani, sindiket itu yang dipercayai didalangi seorang warga tempatan, telah bergerak aktif selama hampir setahun dan menggunakan kereta mewah sebagai modus operandi untuk memindahkan barang bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita percaya mereka mahu mengedarkan kepada pengedar-pengedar kecil di Johor serta sepanjang pantai timur,” kata beliau.

Dari tujuh suspek warga tempatan, tiga masih ditahan reman dari 10 Okt sehingga 14 Okt di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala empat lagi dibebaskan atas jaminan polis.

Sementara 16 lelaki warga Indonesia telah ditahan reman di bawah Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) mulai 11 Okt sehingga 24 Okt.

Kesemua suspek yang didapati tiada rekod jenayah lampau, akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 2001.

Bagi warga asing, mereka turut disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply