Home Semasa 68,317 akan mengundi esok

68,317 akan mengundi esok

by Nurulhuda

PORT DICKSON, 12 Okt – Seramai 68,317 pengundi akan menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, yang dijadualkan esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, 1,403 petugas akan ditempatkan di 154 saluran di 32 pusat mengundi di daerah ini.

“Kita berharap pengundi akan keluar awal pagi walaupun waktu mengundi dilanjutkan dari 8 pagi sehingga 5.30 petang kerana keadaan cuaca yang diramal hujan pada waktu petang.

“SPR juga meminta supaya pengundi dapat membuat semakan daftar pemilih mereka lebih awal sebelum keluar mengundi termasuk di portal rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau proses semakan isi peti undi dan agihan peralatan mengundi kepada ketua tempat mengundi di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.

Othman turut mengingatkan penyokong parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan provokasi bagi memastikan proses pengundian berjalan secara aman tanpa insiden tidak diingini.

“Tiada pihak boleh merayu undi termasuk di luar pusat mengundi dan melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya.

“SPR menjangkakan 70 peratus pengundi akan keluar, manakala keputusan penjumlahan undi akan diumumkan sebelum 10 malam esok di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson ,” katanya.

Mengenai pemantauan SPR sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata secara keseluruhan tempoh berkempen yang akan tamat 11.59 malam ini berjalan dengan baik.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Calon Bebas lain adalah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan, personaliti media sosial, Stevie Chan Keng Leong; pakar perunding pengurusan, Kan Chee Yuen dan bekas pensyarah universiti swasta, Lau Seck Yan.

Related Articles

Leave a Reply