Home PolitikBarisan Nasional UMNO saman wakil rakyat keluar parti

UMNO saman wakil rakyat keluar parti

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Sept – UMNO akan mengambil tindakan undang-undang terhadap wakil rakyat daripada parti itu yang melompat parti dan menjadi wakil rakyat bebas, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya UMNO akan menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan pihak berkenaan juga perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi atas tiket UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat Umno keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti,” katanya dalam ucapan dasar presiden sempena perasmian Perhimpunan Agung ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

“Tetapi, demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, kita telah mengambil langkah drastik melalui tindakan undang-undang.

“Saya ingin menyatakan writ saman telahpun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan BN.”

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno pada 18 September lalu, selepas lebih 40 tahun bersama parti itu dengan alasan hala tuju Umno tidak lagi selari dengan perjuangannya.

Keesokannya, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman turut keluar parti menyebabkan Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen.

Selain Mustapa dan Anifah, 3 lagi ahli Parlimen Umno yang keluar parti selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali.

Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) akan dijenamakan semula selepas rundingan dengan parti komponen, iaitu Umno, MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk Malaysia dan Parti Bersatu Rakyat Sabah selesai.

Katanya, BN akan menerima keahlian langsung daripada individu yang tidak menyertai mana-mana parti politik dan sedia bekerjasama dengan parti politik lain serta NGO yang berkongsi idea sama.

“Kita akan meneruskan kerjasama dalam gagasan pembangkang seperti PAS atas semangat ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.”

Ahmad Zahid mewakili UMNO turut memohon maaf kepada mereka yang telah meletakkan harapan dan keyakinan yang begitu tinggi kepada UMNO dan BN untuk terus memimpin dan mentadbir negara pada PRU14 yang lalu.

Related Articles

Leave a Reply