Menurut laporan Utusan Online, Pengarah Maritim Malaysia Negeri Johor, Datuk Abu Bakar Idris berkata, operasi berkenaan yang dilaksanakan sebanyak 11 kali sejak 2011 dapat mengurangkan kegiatan migran dari Asia Barat seperti Iran, Pakistan dan Afganistan yang menjadikan Malaysia sebagai negara transit.

“Selain menangani kegiatan penyeludupan migran, pelaksanaan Op Redback kali ini memfokuskan penguatkuasaan ke arah membendung kegiatan jenayah rentas sempadan yang melibatkan pergerakan pengganas antarabangsa seperti militan IS, Daesh, penyeludupan dadah dan pemerdagangan manusia.

“Dengan adanya operasi bersama-sama seperti ini, Maritim Malaysia dapat memberi pendedahan kepada setiap pegawai dan anggota terlibat dengan pelbagai teknik dan kemahiran dalam melaksanakan
operasi berskala besar seperti ini,” katanya dalam majlis pelancaran Op Redback Siri 11/2018 di Pejabat Zon Maritim Malaysia Tanjung Sedili, di sini yang turut dihadiri Komander ABF, Chris Waters sebentar tadi.

Operasi kali ini akan dilaksanakan bermula hari ini sehingga Jumaat ini melibatkan 130 anggota Maritim Malaysia, dua buah kapal dan lima bot selain tujuh kepakaran dari ABF.