Home Semasa Kerajaan setuju gubal Akta Perkhidmatan Awam

Kerajaan setuju gubal Akta Perkhidmatan Awam

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 21 Sept – Kerajaan bersetuju menggubal Akta Perkhidmatan Awam bagi menambah baik proses kenaikan pangkat pegawai-pegawai kumpulan pengurusan tertinggi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata mekanisme baharu akan diputuskan bagi mewujudkan proses kenaikan pangkat yang telus dan berintegriti bagi mengurangkan ketidakpuasan hati semua pihak.

Menurutnya walaupun kenaikan pangkat pegawai ditentukan oleh menteri, ia tidak boleh dilakukan atas dasar peribadi.

“Kalau ada protes ataupun persetujuan, (menteri) mesti memberi sebabnya. Bukan saja tidak suka orang itu atau tidak suka orang ini.

“Kalau ada kes tidak sesuai, sebab-sebabnya mestilah diberi,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Perdana Putra, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata mesyuarat turut bersetuju supaya tiada lagi lantikan politik sebagai ketua misi Malaysia ke luar negara seperti duta dan pesuruhjaya tinggi.

Katanya hanya pegawai-pegawai dalam perkhidmatan awam boleh dilantik ke jawatan tersebut.

“Orang yang sudah bersara dan diberi ganjaran untuk menjadi duta. Kami tidak akan membenarkannya.

“Ini adalah tindakan yang tegas terhadap diri kita sendiri kerana memanglah ramai anggota parti kerajaan yang ingin menikmati hidup sebagai diplomat,” katanya.

Dr Mahathir berkata ketua-ketua misi Malaysia di luar negara ketika ini dalam kalangan lantikan politik akan ditamatkan perkhidmatan dan dipanggil balik. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply