Home PolitikBarisan Nasional Umno jangan terlalu ghairah kerjasama dengan PAS – Exco Pemuda Umno

Umno jangan terlalu ghairah kerjasama dengan PAS – Exco Pemuda Umno

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Sept – Kerjasama antara Pas dan Umno tidak boleh dibuat secara terburu-buru memandangkan ke dua-dua parti ini adalah seteru di atas pentas politik lebih 40 tahun.

Exco Pemuda Umno, Shahrul Nasrun Kamaruddin berkata, disebabkan itu, tidak mungkin Umno dan Pas mampu mencapai kata sepakat dalam masa yang singkat.

“Sebagai orang Melayu dan beragama Islam, bagi saya perpaduan dan penyatuan adalah penting untuk dimulakan di saat orang Melayu berpecah akibat politik kepartian.

“Namun masih banyak perkara perlu diperincikan berkaitan kerjasama ini untuk memastikan kedua parti Melayu terbesar ini tidak berpecah sebelum PRU15,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Umno perlu bertenang dan tidak terlalu ghairah dalam menjalinkan kerjasama yang belum disahkan secara rasmi sehingga dilihat terhegeh-hegeh merayu kepada Pas.

”Rakyat tertanya-tanya, kenapa baru sekarang Umno mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas dan kenapa setelah kehilangan kuasa barulah Umno cuba berbaik dengan Pas?

”Persoalan sebegini membuatkan rakyat terutama orang Melayu meragui dan tidak yakin Umno dan Pas bekerjasama demi kepentingan ummah dan timbul tanggapan kerjasama ini demi kepentingan politik semata-mata,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Umno buat masa ini tidak perlu terlalu fokus mengenai kerjasama tersebut sehinggalah ke pemimpin dan ahli daripada kedua-dua parti tersebut saling menerima di antara satu sama lain.

”Kita tidak mahu kerjasama antara Umno dan Pas berpecah separuh jalan. Sememangnya Umno sudah melupakan perbalahan dan cemuhan Pas, tapi kita tidak mahu suara sumbang muncul kemudian hari.

”Di saat ini fokus Umno adalah rakyat dan Umno perlu mula berfikir sebagai pembangkang. Umno tidak perlu bernostalgia dan kena melakukan pembersihan di dalam parti walaupun bakal kehilangan pemimpin dan ahli,” katanya.

Pada masa sama, beliau yakin bahawa Umno mampu bangkit sekali gus kembali menjadi pilihan rakyat dan menyifatkan tempoh lima tahun bukanlah waktu yang terlalu lama.

“Untuk bangkit Umno harus berubah sikap, mesti bertindak sebagai pembangkang yang berkesan kepada kerajaan PH dan isu-isu rakyat harus menjadi agenda dan fokus utama.

“Biarlah yang ada dalam Umno adalah yang mereka yang ikhlas demi perjuangan agama, bangsa negara. Rakyat menghukum untuk menyedarkan Umno dan jangan sesekali kita menyalahkan rakyat kerana telah memilih PH,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply