Home PolitikPAS /PPBM / LAIN PAS diingatkan hati-hati berbaik dengan UMNO

PAS diingatkan hati-hati berbaik dengan UMNO

by Air Times News Network

KUALA NERUS, 16 Sept – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) mengingatkan pemimpin parti itu agar tidak mengabaikan peranan mereka meskipun kini rapat dengan UMNO.

Wakil DHPP, Lau Chin Chua berkata UMNO baru sahaja hadir tetapi DHPP sudah lama bersama-sama dalam mempertahankan PAS di beberapa kawasan serta menarik penyokong bukan Melayu pada pilihan raya sebelum ini.

“Sekarang (PAS) sedang berbaik-baik dengan UMNO, MCA dan MIC. Ingat, sebab apa UMNO rebah.. sebab ada pemimpinnya tidak amanah,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden PAS sempena Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, pada Sabtu.

Lau juga menarik perhatian perwakilan apabila mengingatkan anggota PAS supaya sentiasa berhati-hati dengan ‘persahabatan’ dengan UMNO, MCA dan MIC ketika ini agar tidak bertindak membela pemimpin mereka yang terlibat dengan rasuah.

“Kawan tetap kawan tetapi salah tetap salah. Sekiranya ada antara mereka menerima hukuman akibat rasuah, kita jangan simpati dengan mereka kerana perbuatan itu memang salah,” katanya.

Mengenai strategi menarik sokongan golongan Cina, Lau berkata PAS perlu mengambil hati mereka melalui pendidikan.

“Orang Cina ini memang ambil berat soal pendidikan. Jadi saya harap pemimpin PAS sentiasa cermat dalam membuat kenyataan, jangan sesekali ada kenyataan PAS hendak tutup sekolah Cina apabila berkuasa nanti walaupun dengan nada bergurau.

“Di Kelantan, orang Melayu berlumba-lumba hantar anak mereka ke sekolah Cina untuk belajar Bahasa Mandarin, malah sebahagian besar mereka memang mudah dapat kerja,” katanya.

Sementara itu, perwakilan dari Terengganu, Sharizulkarnain Abd Kadir berkata lidah rasmi PAS, Harakah semakin hari tidak mendapat sambutan dan perlu ditambah baik untuk lebih diminati pembaca kelak.

“Di kemudian hari nanti, apabila selesai ditambah baik, kita harap ia akan menjadi satu bahan yang boleh disebar dan diterima masyarakat,” katanya. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply