Home PolitikBarisan Nasional Kerjasama Pertahanan Malaysia-Jepun Dipertingkat

Kerjasama Pertahanan Malaysia-Jepun Dipertingkat

by Air Times News Network

TOKYO, 12 Sept – Kerjasama pertahanan antara Malaysia dan Jepun terus diperkukuh menerusi pemeteraian perjanjian persefahaman (MoU), yang bakal melonjak hubungan antara dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perjanjian itu antara lain membabitkan kerjasama strategik menangani isu keselamatan di Asia Tenggara daripada ancaman keganasan, inisiatif bantuan kemanusiaan dan latihan ketenteraan.

Mohamad Sabu memeriksa barisan kehormat diiringi rakan sejawatannya, Menteri Pertahanan Jepun, Itsunori Onodera di Dataran Kementerian Pertahanan Jepun di Tokyo – Foto Twitter MSabu_Official

Malaysia diwakili Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu manakala Jepun oleh Menteri Pertahanannya, Itsunori Onodera.

Mohamad berkata, memorandum itu membuktikan hubungan kuat antara dua negara dengan kandungan perjanjian akan menjadi ‘payung’ bagi memastikan hala tuju masa depan sektor pertahanan negara.

Beliau berkata, ia juga menunjukkan kesediaan jelas antara Kuala Lumpur dan Tokyo untuk terus bekerjasama dan menjadi rakan kongsi strategik pertahanan yang erat.

“Saya gembira, kerana Malaysia dan Jepun akhirnya menandatangani memorandum perjanjian Pertukaran dan Kerjasama Pertahanan.

“Sebelum ini, pada awal tahun, kita turut menandatangani perjanjian Pertukaran Teknologi dan Peralatan Pertahanan.

“Saya berharap perjanjian ini akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dan Jepun menerusi usaha bersama dalam pelbagai hubungan.

“Malaysia juga berpandangan kedua-dua negara boleh membantu antara satu sama lain dalam meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing,” katanya pada majlis MoU di Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abd Manaf; Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris dan Penasihat Pertahanan Malaysia ke Jepun, Kapten Mohd Izzudin Ahmad.

Pada majlis sama, Mohamad turut merakam penghargaan dan pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap sumbangan berterusan Jepun dalam memastikan keamanan dan kestabilan dunia khususnya di rantau Asia.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan Jepun yang turut membiaya lebih AS$1 juta (RM4.2 juta) untuk mewujudkan Program Kerjasama Teknikal bersama Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) di Pusat Pengaman Malaysia (MPC), Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Bantuan yang diterima membolehkan kami membangunkan modul ‘Civil Military Cooperation (CIMIC)’ untuk pasukan latihan pengaman Asia dan Afrika,” katanya.

Terdahulu, Mohamad yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Jepun bagi menghadiri Forum Ketua Setiausaha Pertahanan ASEAN-Jepun kali ke-10 yang berlangsung di Nagoya, semalam mengadakan kunjung hormat terhadap Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshihide Suga.

Kunjung hormat hampir 20 minit di Pejabat Perdana Menteri itu turut membincangkan pelbagai isu semasa dalam mengukuh hubungan kerjasama ketenteraan termasuk misi bantuan kemanusiaan Rohingya di Myanmar.

Sementara itu, pada majlis makan tengahari di Malay Asian Cuisine, Mohamad berkata pembelian aset baharu pertahanan bergantung kepada kemampuan kewangan kementerian serta keperluan dan keupayaan aset bagi kegunaan jangka panjang.

“Jika boleh, kami mahu kurangkan perbelanjaan sebanyak mungkin kecuali perkara yang amat perlu dan ia sudah dibincangkan pada peringkat kementerian.

“Saya harap mereka dapat mengemukakan dalam masa terdekat keperluan yang wajar diberi keutamaan, jika perlu beli, kita akan lihat negara mana yang menyediakan kelengkapan dan penyelenggaraan terbaik,” katanya.

Mengenai penambahan peruntukan pertahanan menjelang Bajet 2019 bulan depan, beliau berkata penambahan tidak berlaku berikutan kerajaan menggunakan wang yang banyak untuk membayar hutang negara.

Sebanyak RM14 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan pada Bajet 2018. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply