Home Politik Hindraf tubuh Malaysia Advancement Party wakili kaum India

Hindraf tubuh Malaysia Advancement Party wakili kaum India

by Nurulhuda

JOHOR BAHRU,10 Sept – Penubuhan sebuah parti politik baharu, Malaysia Advancement Party (MAP) untuk kaum India adalah relevan bagi menjaga kepentingan kaum itu dari pelbagai aspek.

Pengerusi penaja Senator P Waytha Moorthy berkata walaupun terdapat beberapa parti pelbagai kaum dalam komponen Pakatan Harapan (PH) yang boleh disertai kaum itu, namun, masyarakat India mahukan sebuah parti khusus bagi mewakili dan membawa kepentingan kaum itu di negara ini.

“Hindraf (Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu) sejak dari awal 2005 memperjuangkan nasib masyarakat India terutamanya golongan berpendapatan rendah.

“Mereka (masyarakat India) mahu kami (Hindraf) mewakili mereka, jadi, kami membuat keputusan tentang perlunya menubuhkan sebuah parti politik.

“Penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diterima (rakyat) untuk mewakili masyarakat Melayu… Amanah juga adalah parti Islam dan telah ada parti lain memperjuangkan Islam, tetapi, Amanah juga diterima apabila ditubuhkan.

“Atas sebab itu, masyarakat India juga mahukan sebuah parti bagi mewakili mereka,” katanya, yang juga pemimpin Hindraf, kepada pemberita selepas majlis perjumpaan dengan masyarakat India Johor, di sini, malam tadi.

Waytha Moorthy berkata buat masa ini adalah terlalu awal untuk beliau mengulas lanjut berkenaan penubuhan MAP dan penerimaannya dalam kalangan PH memandangkan permohonan penubuhannya baru sahaja dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Beliau berkata pihaknya akan membuat permohonan kepada PH supaya MAP diterima sebagai parti komponen, selepas penubuhannya mendapat kelulusan ROS kelak.

Mengenai perjumpaan dengan masyarakat India pula, Waytha Moorthy yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata beliau sudah ke Negeri Sembilan dan Langkawi sejak pilihan raya umum ke-14 lepas selain di sini, malam tadi.

Related Articles

Leave a Reply