Home PolitikPakatan Harapan PH akan pastikan orang Melayu tidak salah guna pemberian – PM

PH akan pastikan orang Melayu tidak salah guna pemberian – PM

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 8 Sept – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan yang kini menerajui kerajaan baharu akan memastikan apa yang diberi kepada orang Melayu tidak disalahgunakan.

Perdana menteri berkata kerajaan yang ada sekarang akan membuat sesuatu bagi menjayakan orang Melayu termasuk dalam aspek kewangan bagi mengurangkan jurang ekonomi mereka dengan kaum-kaum lain.

“Kita akan cipta dasar, peluang dan mengadakan kemudahan bagi orang Melayu meningkatkan prestasi mereka, tetapi kali ini kita akan tentukan segala yang diberi kepada orang Melayu tidak akan disalahgunakan oleh mereka. Jualan pemberian tidak akan dibenarkan.

“Kita akan tentukan mereka dilatih dengan cara-cara mengurus, terutama pengurusan wang. Kita akan semai dalam hati sanubari mereka nilai-nilai yang mulia. Kita tidak akan teragak-agak bertindak terhadap penyelewengan,” katanya.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun kedua parti itu di Stadium Malawati, di sini malam ini.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Pengerusi DAP Tan Kok Wai, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Dr Mahathir berkata kerajaan dan pemimpin Pakatan Harapan akan menentukan hanya mereka yang terlatih atau berpengalaman diberi pertimbangan semasa menilai tawaran mereka dalam tender.

“CV mereka akan diambil berat, terutama berkenaan tabiat mereka apabila berhutang termasuk hutang PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional),” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kepimpinan PH termasuk Bersatu tidak akan merampas hak atau atau harta sesiapa malah akan menitikberatkan dan mengambil kira soal persamaan satu sama lain.

Menyentuh soal ekonomi membabitkan orang Melayu, Dr Mahathir berkata di bawah Dasar Ekonomi Baru, orang Melayu telah diberi banyak peluang dan bantuan supaya mereka dapat meningkatkan kejayaan mereka dalam perniagaan dan perusahaan.

“Dengan itu perbezaan ketara antara ekonomi mereka dengan kaum lain dapatlah dikurangkan sedikit. Kejayaan program ini amatlah kecil dan tidak memuaskan. Namun keperluan mengurangkan jarak ekonomi antara kaum perlu diteruskan.

“Soalnya ialah apakah sebabnya Dasar Ekonomi Baru dengan ‘affirmative actionnya’ gagal mencapai matlamat. Mirip kita ialah untuk menuduh orang lain. Mirip kita ialah untuk menuduh kerajaan, menuduh kaum lain dan berbagai lagi. Mereka semua salah apabila kita gagal. Kita tidak pernah salah. Jika kita dapat mengaku kita yang bersalah, maka perlu kita betulkan kesalahan kita,” katanya.

Justeru, Anggota Parlimen Langkawi itu menyeru orang Melayu untuk menyertai perjuangan Pakatan Harapan dan Bersatu bagi membaiki kedudukan mereka.

Menurutnya, ini kerana dengan berpegang pada nilai-nilai yang mulia, dengan kesanggupan berkorban untuk masa depan, matlamat yang telah mereka gariskan untuk bangsa, agama dan negara akan tercapai.

“Bersatu ini adalah sebahagian daripada kerajaan. Ini memberi peluang kepada Bersatu memainkan peranan dalam usaha membangunkan orang Melayu supaya bahagian mereka dalam negara ini terpelihara, seperti kaum-kaum lain memelihara kaum mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata Bersatu adalah parti Melayu dan bumiputera yang ditubuhkan kerana UMNO sebagai parti orang Melayu sudah diselewengkan dan tidak dapat dibaiki dari dalam.

Tegasnya lagi, Bersatu tidak akan menjadi seperti kepimpinan kerajaan terdahulu dan akan mengutamakan kemajuan negara untuk dinikmati semua pihak.

“Parti Bersatu tidak akan jadi UMNO Najib. Kita tidak akan utamakan apa (yang) diri kita dapat. Keutamaan kita ialah untuk memajukan negara supaya menjadi negara maju. Tumpuan kita ialah agihan nikmat negara maju secara adil dan saksama,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Mahathir turut menyampaikan hadiah kepada Bersatu Bahagian Bachok, Kelantan, kerana merekodkan pendaftaran anggota baharu paling ramai. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply