Home PolitikPakatan Harapan Kita perlu selamatkan parti, tiada kompromi – Anwar Ibrahim

Kita perlu selamatkan parti, tiada kompromi – Anwar Ibrahim

by Nurulhuda

SIBU, 9 Sept – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan calon-calon yang mengambil bahagian dalam pemilihan pimpinan tertinggi parti itu supaya bertanding secara sihat dan dalam satu keluarga besar demi memperkukuh parti itu.

Pemilihan pimpinan tertinggi PKR yang dijadual 22 September hingga 28 Oktober ini di seluruh negara akan menyaksikan pertandingan semua peringkat kecuali jawatan presiden yang dimenangi Anwar tanpa bertanding bulan lepas.

Beliau juga menegaskan, tidak akan berkompromi dengan mana-mana calon yang didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan mereka supaya tidak bersikap kasar, bergaduh, mencerca dan memaki hamun semata-mata untuk menang.

“Pertandingan hendaklah (secara) sihat dalam keluarga besar. Kalau ada saya terima mana-mana laporan serius, saya tak peduli, you siapa (samada) you menang (atau) you kalah. Kita perlu selamatkan parti. Tiada kompromi,” tegasnya semasa berucap pada majlis makan `Melangkah Ke Arah Kegemilangan Baharu Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim’ di sini malam tadi.

Anwar berkata, perwakilan parti perlu memilih pemimpin terbaik daripada kalangan calon yang disenarai bertanding.

Beliau turut mengesahkan terdapat tiga kerusi Parlimen yang ditawarkan untuk beliau tandingi pada pilihan raya kecil dalam tempoh terdekat ini bagi membolehkannya kembali ke Parlimen sebelum bulan Oktober tahun ini.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan nama kerusi-kerusi Parlimen itu dan kerusi mana yang akan ditandingi.

Terdahulu, Pengerusi PKR Sarawak merangkap Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian, berkata sokongan rakyat negeri ini yang mahukan perubahan kerajaan telah membolehkan Pakatan Harapan berjaya memenangi 10 daripada 30 kerusi Parlimen di Sarawak dan kini bertambah kepada 12 kerusi berikutan kemasukan calon bebas.

Baru yang juga Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) Ba’kelalan berkata, Pakatan Harapan Sarawak perlu memperkukuhkan kedudukan di Sarawak bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) kira-kira tiga tahun lagi. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply