Home Semasa Penting Islam tidak ditonjolkan sebagai agama yang bengis, hukuman berat – Tun M

Penting Islam tidak ditonjolkan sebagai agama yang bengis, hukuman berat – Tun M

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Sept – Kabinet berpandangan adalah penting Islam tidak ditonjolkan sebagai agama yang bengis dengan hukuman berat menanti umatnya yang melakukan kesalahan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata demikian susulan kes dua wanita dihukum sebat enam kali di khalayak ramai di Makahmah Tinggi Syariah Terengganu pada Isnin lepas setelah mengaku bersalah melakukan hubungan seks sejenis di dalam sebuah kereta di Dungun, 8 April lepas.

“Amatlah penting kita menunjuk agama Islam ini bukanlah agama yang bengis yang suka menjatuhkan hukum-hukum yang berat yang mengaibkan orang,” katanya ketika menyampaikan pandangan kerajaan Pakatan Harapan berhubung perkara itu melalui media sosial hari ini.

Beliau menegaskan ini bukan cara-cara yang digalakkan oleh agama Islam.

“Ini adalah pendapat kabinet. Kerajaan dan kami berharap kita berhati-hati dalam mempamerkan Islam (seolah-olah) sebagai agama yang tidak ada tolak ansur, tidak ada bertimbang rasa,” katanya.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa umat Islam sering memulakan sesuatu perbuatan dan aktiviti dengan membaca ‘Bismillahirrahmanirrahim” yang membawa maksud ‘Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani’

“Tetapi kita tunjuk seolah-seolah dalam Islam ini tidak ada perasaan pemurah sama sekali,” katanya merujuk kepada sesetengah tindakan yang diambil tidak mencerminkan maksud kalimah itu.

Kabinet yang membincangkan kes itu semalam, katanya, berpendapat hukuman mahkamah terhadap kedua-dua wanita itu tidak mencerminkan keadilan dan timbang rasa dalam Islam.

“Sebaliknya kita tahu bahawa ini adalah kes pertama bagi mereka dan biasanya dalam kes pertama kita perlu memberi nasihat dan tidak seterusnya melakukan sebat sehingga diketahui oleh seluruh negara.

“Ini memberi gambaran yang buruk kepada agama Islam,” kata Perdana Menteri.

Dr Mahathir berkata segala faktor dan keadaan perlu diambil kira sebelum mahkahmah menjatuhkan hukuman bagi kes seumpama itu.

“Sebab itu kami berpendapat bahawa kalaupun ada kes-kes semacam ini, pertimbangan hendaklah diberi kepada keadaan tertentu yang mana dalam Islam kita boleh menjatuhkan hukum lebih ringan sementara kita memberi nasihat dan sebagainya,” katanya.

Selain itu, kedua-dua wanita itu turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Kedua-duanya diberi peluang untuk membuat rayuan terhadap hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply