Home Politik Anggota tentera laksana tanggungjawab undi awal

Anggota tentera laksana tanggungjawab undi awal

by Air Times News Network

SHAH ALAM, 4 Sept – Pemilih berdaftar terdiri daripada 2,597 pegawai dan anggota tentera bersama pasangan mereka melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, bermula jam 8 pagi ini.

Pengundian awal itu dijalankan di pusat mengundi di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini.

Tinjauan NSTP mendapati proses pengundian di lokasi itu setakat ini berjalan lancar dan terkawal.

Hadir sama, calon Pakatan Harapan bagi PRK itu, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Dr Halimah Ali.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),Tan Sri Othman Mahmood turut dijangka hadir meninjau pusat mengundi itu pada jam 12 tengah hari ini.

Anggota TUDM hadir untuk membuang undi awal sempena Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia di Dewan Ababil, Pangkalan Udara TUDM, Shah Alam. – Foto Berita Harian

Pengundian awal itu membabitkan keseluruhan seramai 2,770 pengundi termasuk 173 pegawai dan anggota polis yang mengundi di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini.

Proses pengundian akan berakhir jam 5 petang ini.

PRK Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia akibat barah usus di Hospital Putrajaya, 2 Ogos lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.

Related Articles

Leave a Reply