Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, keadaaan tegang beransur pulih apabila pihak ATM berjaya menahan tujuh daripada 18 PATI manakala selebihnya melepaskan diri dengan berlari ke dalam semak di kampung tersebut.

Panglima 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, serbuan itu dilakukan anggota Batalion Ke-6 Rejimen Askar Melayu Diraja (6 RAMD) yang diketuai Mejar Rahman Arif Abidin selepas menerima maklumat awam.

“Apabila sampai di kawasan itu, pasukan terbabit mendapati seramai 18 PATI dipercayai warga Myanmar sedang berkeliaran berhampiran kawasan semak di kampung tersebut.

“Pasukan yang terdiri daripada lapan anggota berpecah kepada dua kumpulan itu melakukan serbuan dan PATI terbabit telah membaling kayu dan besi dipercayai dibawa sebagai persediaan sekiranya diserbu anggota keselamatan,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, PATI yang terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 20 hingga 41 tahun itu gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

“PATI terlibat dibawa ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) Lima Rejimen Sempadan (5RS) untuk pemeriksaan kesihatan sebelum diserahkan ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.