Home Semasa Malaysia-Brunei ibarat sahabat lama, rakan akrab

Malaysia-Brunei ibarat sahabat lama, rakan akrab

by Air Times News Network

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sultan Hassanal Bolkiah meluangkan masa bersiar-siar di Taman Mahkota Jubli Emas, di sini pagi tadi.

Malah, Sultan Brunei mengenepikan segala protokol dengan menjemput, seterusnya memandu sendiri kereta mini Hummer H3 bersama sahabat lamanya itu mengelilingi taman rekreasi berkenaan.

Kedua-dua pemimpin kemudian menandatangani plak peringatan di taman rekreasi itu sempena lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke Brunei Darussalam selepas kembali memegang jawatan itu.

Ia disusuli acara menanam ‘Pokok Persahabatan’ oleh Dr Mahathir dan Sultan Hassanal Bolkiah sebagai simbol keakraban hubungan Malaysia-Brunei yang sekian lama terjalin.

Perdana Menteri dan Sultan Brunei kemudiannya menikmati sarapan pagi bersama dalam suasana santai di sebuah restoran di bandar raya ini sebelum bergerak ke Istana Nurul Iman untuk sesi perbincangan rasmi.

Dalam pertemuan empat mata itu, Dr Mahathir dijangka memperjelaskan kepada Sultan Brunei mengenai perkembangan terkini situasi politik di Malaysia, termasuk dasar kepemimpinan dan pentadbiran negara.

Malah, platform itu bakal dimanfaatkan oleh kedua-dua pemimpin untuk terus memperkasakan hubungan baik Malaysia – Brunei dalam konteks diplomatik dan perdagangan.

Dr Mahathir dijadual memberi syarahan khas di Universiti Brunei Darussalam (UBD) petang ini sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Related Articles

Leave a Reply