Home Semasa Khalid terima surat peletakan jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur

Khalid terima surat peletakan jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Menteri Wilayah, Khalid Samad, mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, kelmarin.

Beliau berkata, surat dengan notis 30 hari itu belum dijawab dan sedang dalam proses pertimbangan.

“Beliau menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada saya. Saya kira ia dilakukan berikutan beliau sudah terlalu lama sangat dengan DBKL iaitu 40 tahun. Beliau mungkin memikirkan mahu menumpukan masa bersama keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Penyerahan 5,000 pelekat kereta ‘Daulat Tuanku’ sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong daripada Pertubuhan Warisan Negara untuk diedarkan kepada warga kota di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Warisan Negara, Datuk Zulkifly Ibrahim.

Tanpa menamakan sebarang calon, Khalid berkata DBKL sedang mencari individu sesuai menggantikan jawatan berkenaan.

“Kita mungkin akan adakan mesyuarat Kabinet minggu depan bagi membincangkan perkara ini.

“Seperti mana yang kita tahu Kuala Lumpur adalah bandaraya terpenting di negara kita sebagai ibu kota bagi Malaysia, jadi kita perlukan Datuk Bandar yang boleh bertindak dan memainkan peranan seperti mana yang sepatutnya.

“Lebih-lebih lagi bila kita berada di persimpangan jalan atau di Ambang 2020, di mana kita nak kena keluarkan satu master plan yang baharu untuk 2040, jadi kita mesti ada satu kepimpinan untuk bandaraya Kuala Lumpur yang boleh melaksanakan tugasan berkenaan,” katanya.

Khalid berkata, pemilihan Datuk Bandar akan melalui perbincangan antara beliau dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Related Articles

Leave a Reply