Home Semasa Veteran perlu kekalkan semangat patrotisme

Veteran perlu kekalkan semangat patrotisme

by Noor Sheila Amin

KUCHING, 2 Sep – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan agar sentiasa mengekalkan semangat perjuangan dan patriotisme yang tinggi meskipun sudah bersara.

Panglima 3 Briged Infantri Brigadier Jeneral Mohd Bustaman Mat Zin berkata, ini penting bagi memastikan rakyat berbilang kaum dan agama terus berada dalam suasana aman dan harmoni.

Biarpun sudah bersara atau tidak lagi berkhidmat dalam ATM katanya, ini tidak bermakna semangat untuk mempertahankan kedaulatan negara dalam kalangan mereka tidak lagi penting.

“Demi negara, kita perlu bersama-sama mempertahankan maruah dan kedaulatan Ibu Pertiwi daripada sebarang bentuk ancaman.

“Justeru, marilah kita bersama-sama membina negara dengan terus mengekalkan semangat cintakan negara serta sanggup mempertahankan negara ini sehingga ke akhir hayat demi keamanan dan masa depan yang lebih cerah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Reunion Ke-8 Veteran 24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Sarawak di Kem Semenggo di  sini, semalam.

Majlis itu merupakan anjuran Veteran 24 RAMD Sarawak dengan kerjasama Batalion Ke-11 RAMD.

Bercakap mengenai program itu, beliau memuji inisiatif Veteran 24 RAMD Sarawak kerana berjaya mengumpulkan 265 bekas tentera yang pernah bertugas dalam pasukan tersebut di sini menerusi penganjuran majlis sedemikian.

“Apa yang kita lakukan ini adalah salah satu cara untuk menunjukkan penghargaan atas sumbangan dan jasa mereka dalam mempertahankan negara,” katanya.

Terdahulu, Pengasas Veteran 24 RAMD Sarawak Khairuddin Khalid dalam ucapannya berkata, program ‘reunion’ atau perjumpaan semula bekas pegawai dan anggota Veteran 24 RAMD Sarawak itu diadakan bertujuan mengeratkan lagi silaturahim di antara mereka.

Pada masa sama katanya, ia sebahagian daripada program tahunan ATM untuk menghargai jasa dan bakti bekas pegawai dan anggota pasukan itu dalam menjaga keselamatan dan mempertahankan kedaulatan negara.

“Dengan adanya program seumpama ini, saya yakin kita dapat meneruskan keakraban yang terjalin sejak berkhidmat dalam pasukan tentera,” katanya sambil memberitahu Veteran 24 RAMD Sarawak mempunyai keahlian seramai kira-kira 850 orang.

Pada majlis itu, Mohd Bustaman turut menyampaikan sagu hati kepada lima balu dari Veteran 24 RAMD Sarawak.

Related Articles

Leave a Reply