Malah, aksi 16 pesawat pejuang yang mempamerkan formasi berbentuk angka 61 bersempena ulang tahun tarikh 31 Ogos 1957 telah memperlihatkan kelainan baharu dalam sambutan kali ini.

Selain itu, deruman enjin 18 pesawat pejuang termasuk jenis Sukhoi SU-30MKM dan 13 pesawat pengangkut Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang masing-ma­sing dilengkapi teknologi canggih dan kemampuan telah menyemarakkan kemeriahan sambutan hari bermakna itu.

Keterlibatan pesawat pengangkut udara tidak kurang hebatnya menerusi aksi Pilatus PC-7MK II, CN235 dan C130 di ruang udara Dataran Putrajaya yang dikelilingi bangunan ikonik iaitu Istana Kehakiman, Kompleks Perbadanan Putrajaya dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

ATM juga tidak melepaskan peluang menunjukkan kehebatan pertahanan negara menerusi perarakan 103 aset antaranya kereta perisai, kereta kebal dan peluru berpandu sepanjang acara itu.

Antara mencuri tumpuan adalah lipan bara, kereta perisai bermobiliti tinggi (HMAV) yang mampu mengangkut muatan seberat sehingga dua tan serta mempunyai tahap perlindungan dan kekebalan yang menepati piawaian protokol STANAG 4569 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Tambahan juga, kenderaan perisai berantai Adnan yang dinamakan bersempena wira Leftenan Adnan turut dipamerkan dalam perbarisan Hari Kebangsaan itu.

Perbarisan Hari Kebangsa­an 2018 menyaksikan seba­nyak 2,050 kontinjen ATM yang mengambil bahagian dengan juga melibatkan 30 unit berkuda.