Home Semasa Kes bunuh Kim Jong-Nam: 2 saksi sedang dikesan

Kes bunuh Kim Jong-Nam: 2 saksi sedang dikesan

by M.Daim

SHAH ALAM, 1 Sept – Polis sedang mengesan dua wanita warga Indonesia, yang diperlukan untuk hadir sebagai saksi perbicaraan kes bunuh Kim Jong-Nam di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata kedua-dua mereka dikenal pasti sebagai Raisa Rinda Salma, 24, pemegang passport No. B2421541 dan Dessy Meyrisinta, 33, pemegang passport No. B0464727.

Kedua-dua saksi ini yang beralamat terakhir di Hotel Flamingo, Ampang, tidak dapat dihubungi, katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta sesiapa yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai mereka untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Wan Azirul Nizam daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada talian 017-655 6575, atau mana-mana balai polis berhampiran.

Pada 16 Ogos lepas, mahkamah memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh Jong-Nam atau Kim Chol yang jugs abang Presiden Korea Utara Kim Jong-un, tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 1, 5, 7, 8, 12, dan 13 Nov serta antara 12 dan 14 Dis sebagai tarikh untuk Siti Aisyah membela diri manakala 7 dan 10 Jan, 28 hingga 31 Jan serta antara 18 dan 20 Feb tahun depan untuk Doan membela diri.

Siti Aisyah dan Doan didakwa dengan empat individu yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb 2017.

Related Articles

Leave a Reply