Home SemasaGlobal China lancar kempen pengintipan secara ‘online’ – Amerika Syarikat

China lancar kempen pengintipan secara ‘online’ – Amerika Syarikat

by M.Daim

WASHINGTON, 1 Sept – Amerika Syarikat menuduh China telah melancarkan kempen pengintipan secara agresif di laman sosial LinkedIn.

William Evanina, Ketua Pengarah Pusat Keselamatan dan Risik Balas Kebangsaan Amerika Syarikat berkata, pihak perisikan dan pasukan keselamatan telah mengeluarkan amaran kepada pihak pemilik LinkedIn, Microsoft Corp. mengenai tindakan China di laman berkenaan.

Perkara tersebut didedahkan oleh Evanina dalam satu wawancara khas dengan Reuters.

Beliau berkata, pihak China menggunakan akaun media sosial palsu dan berhubung dengan ribuan pemilik akaun LinkedIn. Sebelum ini, Jerman dan Britain telah mengeluarkan amaran kepada rakyat mereka tentang cubaan China untuk menggunakan pengguna LinkedIn sebagai pengintip.

Pendedahan pertama kali yang dilakukan oleh Amerika Syarikat mengenai LinkedIn itu turut membawa gesaan kepada pengelola platform media sosial tersebut untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan bertindak balas seperti yang dilakukan oleh Twitter, Google, dan Facebook.

Ketiga-tiga gergasi dunia maya itu telah bertindak memadam dan menghalang akses ke mana-mana akaun yang dipercayai dimiliki oleh pihak perisikan Iran dan Rusia.

LinkedIn pada ketika ini mempunyai kira-kira 575 juta pengguna di 200 buah negara.

Kecewa

Evanina tidak dapat menghalang rasa kecewanya dengan menyatakan tindak balas yang dilakukan oleh LinkedIn adalah lambat dan tidak mencukupi.

Sementara tu, pihak LinkedIn menyatakan bahawa syarikat berkenaan telah berbincang dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat mengenai isu tersebut.

Ketua Bahagian Keselamatan LinkedIn, Paul Rockwell berkata, pihak LinkedIn telah memadam sekurang-kurangnya 40 buah akaun palsu. Menurut beliau, pemilik akaun palsu tersebut telah cuba berhubung dengan pengguna LinkedIn yang terdiri daripada ahli parti politik.

Rockwell berkata, LinkedIn sentiasa berusaha untuk membanteras gejala tersebut dan pihaknya bersedia untuk melakukan apa sahaja bagi mengenal pasti dan mengagalkan sebarang usaha pengintipan melalui platform tersebut.

“LinkedIn adalah mangsa keadaan”

Evanina turut menyatakan, LinkedIn adalah mangsa keadaan dan isu ini adalah satu amaran kepada semua pihak. Tambah beliau, sekiranya tidak dikawal, LinkedIn mungkin menjadi satu lagi insiden ‘Facebook’ dalam pencaturan politik. Beliau turut mengingatkan semula akan peranan Facebook dalam pilihanraya Presiden Amerika Syarikat pada tahun 2016.

Tunjukkan Bukti!

Pihak China menemplak tuduhan Evanina dan meminta pihak Amerika Syarikat untuk tampil menunjukkan bukti. Pihak Kementerian Luar China turut menyifatkan tuduhan Evanina sebagai ‘mengarut’dan ‘tidak berasas

Walaupun begitu, Senator Mark Warner menyuarakan amaran bahawa isu sebegini adalah cukup untuk menunjukkan keupayaan perisikan China di alam maya.

“Perkara ini merupakan satu cabaran dalam bidang perisikan pada abad 21, terutamanya apabila semua pengguna mempunyai kesan jejakan tersendiri di alam maya,” kata Senator Warner.

 

Related Articles

Leave a Reply