Home PolitikBarisan Nasional Buku propaganda tentera Myanmar muat gambar palsu

Buku propaganda tentera Myanmar muat gambar palsu

by Air Times News Network

YANGON, 31 Ogos – Buku propaganda terbitan tentera Myanmar berjudul “Myanmar Politics and the Tatmadaw: Part I” didapati memalsukan beberapa gambar yang boleh menimbulkan ketegangan etnik dan agama, kata Reuters dalam satu laporan khas.

Gambar pertama menunjukkan seorang lelaki berdiri berhampiran dua mayat sambil memegang peralatan pertanian dengan keterangan gambar ‘Rakyat Bengal membunuh kejam etnik tempatan’.

Satu lagi gambar yang dimuatkan di seksyen rusuhan etnik Myanmar pada 1940 menunjukkan imej dengan keterangan seolah penganut Buddha dibunuh oleh Rohingya.

Siasatan Reuters mendapati gambar itu sebenarnya diambil ketika perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971, apabila ratusan ribu penduduk Bangladesh dibunuh oleh tentera Pakistan.

Ia satu daripada tiga gambar yang dimuatkan dalam buku 117 muka surat itu dan diterbitkan jabatan perhubungan awam dan perang psikologi tentera Myanmar yang kononnya diambil dari arkib negeri di barat Rakhine.

Reuters mendapati dua daripada gambar asal itu diambil di Bangladesh dan Tanzania.

Gambar ketiga pula mempunyai keterangan gambar yang salah di mana etnik Rohingya dikatakan masuk ke Myanmar dari Bangladesh, sedangkan ia menunjukkan sekumpulan pendatang sedang meninggalkan negara itu.

Jurucakap kerajaan Zaw Htay dan jurucakap tentera gagal dihubungi untuk mengulas lanjut mengenai ketulenan gambar berkenaan.

Setiausaha di Kementerian Penerangan, U Myo Myint Maung pula enggan mengulas lanjut dengan alasan belum membaca buku yang diterbitkan sejak Julai.

Pada Isnin, Facebook mengharamkan ketua tentera dan pegawai tentera lain selepas dituduh menggunakan platform media sosial itu untuk ‘menimbulkan ketegangan etnik dan agama’.

Pada hari yang sama, penyiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menuduh Jeneral Kanan, Min Aung Hlaing mengendalikan kempen dengan niat melakukan ‘penghapusan etnik’ dan mengesyorkan dia serta pegawai kanan lain didakwa untuk jenayah terhadap kemanusiaan. – Reuters

Buku propaganda terbitan tentera Myanmar berjudul “Myanmar Politics and the Tatmadaw: Part I” – Foto Reuters

Related Articles

Leave a Reply