Home Semasa Najib beri keterangan kepada polis kali kedua

Najib beri keterangan kepada polis kali kedua

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini sekali lagi hadir untuk memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pengubahan wang haram.

Bekas perdana menteri itu tiba kira-kira jam 10 pagi di Menara 238, Jalan Tun Razak di sini, menaiki kenderaan Toyota Vellfire dengan ditemani peguam, Tan Sri Shafee Abdullah.

Difahamkan, Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (Amla), Urus Setia Ketua Polis Negara Bukit Aman akan merakam keterangan Ahli Parlimen Pekan itu.

Keterangan itu dipercayai bagi membantu siasatan berhubung skandal 1MDB di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla).

Najib dipercayai melalui jalan belakang, dan kehadirannya disahkan pegawai pengiring beliau.

Sumber yang dekat dengan Najib memberitahu, Isnin lepas polis mengambil keterangannya berhubung sejumlah transaksi kewangan yang berlaku seawal 2011 yang dipercayai melibatkan penganjuran program oleh Umno Pekan.

Menurut sumber transaksi itu berkaitan beberapa pembayaran termasuk kos katering, khemah dan hadiah cenderahati lain.

Pada 8 Ogos lalu, Najib didakwa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan berkata, pertuduhan itu berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

Pada 4 Julai lalu, Najib mengaku tidak bersalah terhadap 3 pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu dakwaan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International bernilai RM42 juta.

Related Articles

Leave a Reply