Home Semasa Dakwaan Hairul Azreen hampir diculik tidak berasas, hanya publisiti murahan

Dakwaan Hairul Azreen hampir diculik tidak berasas, hanya publisiti murahan

by Air Times News Network

KOTA KINABALU, 29 Ogos – Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menafikan kenyataan pelakon Hairul Azreen yang mendakwa hampir diculik ketika penggambaran filem di pangkalan hadapan Tun Sharifah Roziah, Semporna baru-baru ini.

Komander ESSCom, Datuk Hazani Ghazali berkata, dakwaan tersebut tidak berasas, malah sepanjang penggambaran pihak berkuasa telah menugaskan Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk menjaga keselamatan mereka.

Sehubungan itu katanya, dakwaan tersebut mengelirukan, mengundang persepsi negatif dan hanya gimik promosi untuk menarik publisiti murahan daripada masyarakat.

“Kenyataan pelakon filem ini tidak berasas memandangkan tiada sebarang kejadian seumpama itu yang dilaporkan sepanjang kru filem berkenaan berada di kawasan tersebut yang merupakan kawasan keselamatan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

“Sepanjang mereka menjalankan penggambaran filem, mereka disertai dan dikawal oleh pasukan keselamatan yang terlatih, Paskal dan saya percaya tidak ada cubaan melakukan penculikan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini petang ini.

Pelakon tersebut seperti dilaporkan media hari ini mendakwa dia hampir diculik lanun ketika penggambaran filem Paskal di perairan Sabah bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, tiada sebarang kejadian tidak diingini terjadi dan proses penggambaran juga berjalan dengan lancar.

Related Articles

Leave a Reply