Pergerakan balik kesemua anggota dijalankan dalam dua peringkat dengan kumpulan pertama seramai 29 orang telah tiba di Malaysia pada 24 Ogos lalu manakala baki 20 orang lagi selamat tiba hari ini.

Panglima Angkatan Bersama, Laksamana Madya Datuk Syed Zahiruddin Putra Syed Osman berkata, operasi itu merupakan sebuah kejayaan besar bagi ATM memandangkan Hospital Medan Malaysia merupakan satu-satunya hospital medan tahap tiga yang beroperasi di sana.

“Sejak hospital medan ini mula beroperasi pada Disember lalu sehingga kini, kira-kira 23,000 pesakit telah dirawat dan pasukan kita telah mengoperasikan 754 prosedur pembedahan kecemasan, 59 prosedur menyambut kelahiran bayi dan 1,813 rawatan pergigian.

“Sepanjang operasinya juga, Hospital Medan Malaysia menerima kerjasama dari pelbagai agensi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan Persaruan Bantuan Perubatan (Mercy) Malaysia,” katanya ketika memberikan ucapan dalam Majlis Sambutan Kepulangan Pasukan Operasi Starlight-1 di Wisma Transit Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Leftenan Jeneral Datuk Dr. Ya’akop Koming dan Komander Hospital Medan Malaysia, Brigadier Jeneral Dr. Adnan Abdullah.