Danny Gonzalez, 27, memberitahu pemberita, sejak mereka berkahwin kira-kira dua tahun lalu, isterinya akan menghubunginya setiap minggu untuk merungut dengan berkata, dia perlu mengirim lebih banyak wang kepadanya.

Disebabkan tidak dapat menunaikan permintaan isterinya yang melampau itu, lelaki terbabit melakukan satu helah bagi menghentikan perbuatan isterinya dengan menipu bahawa dia telah mati dan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan dia terbaring di atas sebuah katil.

Gonzalez turut menyumbat kapas ke dalam lubang hidungnya, di samping menyertakan mesej pesanan bahawa dia telah meninggal dunia akibat penyakit kanser dan asma.

Lelaki yang bekerja di Amerika Syarikat itu bagaimanapun tidak menyangka isterinya akan menghantar gambarnya ke sebuah stesen televisyen tempatan di Honduras dan menyiarkannya.

Sanak saudaranya mula mengetahui berita tentang kematiannya, namun sesetengah ahli keluarga termasuk ibunya yang melihat lebih dekat gambar itu menyedari bahawa dia kelihatan tersengih dan helaian kain putih yang menutup badannya adalah sarung bantal.

Ketika gambar itu tersebar di media sosial, ramai mengesyaki Gonzalez telah memalsukan kematiannya. Justeru, media tempatan membuat keputusan menyiasat dan akhirnya mendapati lelaki itu sebenarnya masih hidup dan dalam keadaan baik.

Lelaki itu kemudian mengakui bahawa dia memalsukan kematiannya sendiri dan menggunakan alasan isterinya selalu berleter, punca dia berbuat demikian.

“Setiap hari Sabtu, isteri saya akan menghubungi saya untuk meminta saya mengirim lebih banyak wang. Pada hari lain, bukan satu pesanan mesej diterima, malah banyak.

“Selain itu, dia (isteri) juga akan berterusan meminta saya menghantar telefon bimbit kepadanya. Walaupun saya telah mengirim enam buah gajet itu, dia akan memberitahu bahawa telefon bimbitnya telah dicuri,” katanya kepada HCH.

Beberapa pengguna media sosial di Honduras mendapati alasan Gonzalez sangat kelakar dan beberapa lagi memahami alasan itu. Namun, paling banyak adalah netizen memberi komen negatif.

Ada juga netizen menyatakan bahawa dia sepatutnya melakukan suatu helah yang kurang mengakibatkan trauma kepada ahli keluarga bagi menghentikan tabiat buruk isterinya. – www.odditycentral.com