Home Semasa Tiada anugerah bintang kebesaran sempena Keputeraan Agong?

Tiada anugerah bintang kebesaran sempena Keputeraan Agong?

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Tokoh budaya, Tan Sri Dr Rais Yatim, mengalu-alukan khabar bahawa untuk pertama kalinya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, tidak akan menganugerahkan sebarang bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda tahun ini.

Rais berkata, beliau mendapat tahu hanya titah Yang di-Pertuan Agong dan ucapan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sahaja pada sambutan yang dijadualkan pada 9 September ini.

“Dikhabarkan tahun ini, takda (tiada) anugerah bintang kebesaran oleh YDAgong (Yang di-Pertuan Agong), cuma titah ucapan (baginda) dan ucapan PM (Perdana Menteri) saja. Syabas kalau benar begitu.

“Jgn (Jangan) hendaknya amalan was-was ufti terdahulu berterusan termasuk di peringkat negeri. Fasal bintang ini, ia semacam cacing dah naik ke mata,” katanya menerusi komen terbaharu menerusi akaun twitter peribadinya, @DrRaisYatim, hari ini.

Sebuah portal berita melaporkan yang Sultan Muhammad V sudah memaklumkan kepada pejabat Perdana Menteri mengenai langkah yang diambil baginda itu.

Secara tradisinya, sebuah jawatankuasa pemilihan yang dipengerusikan Perdana Menteri dengan keanggotaannya termasuk Ketua Setiausaha Negara serta Ketua Polis Negara.

Jawatankuasa itu bertanggungjawab membuat penilaian dan cadangan bagi penerima anugerah utama terutama untuk anugerah yang membawa gelaran Tun, Tan Sri dan Datuk.

Sumber Istana Negara ketika dihubungi bagi mengulas pendirian Yang di-Pertuan Agong itu enggan memberi sebarang ulasan mengenainya, sebaliknya menyatakan hanya Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA) Jabatan Perdana Menteri boleh membuat kenyataan mengenainya.

Related Articles

Leave a Reply