Home Pertahanan dan Keselamatan PALAPES UUM rangkul Universiti Awam terbaik

PALAPES UUM rangkul Universiti Awam terbaik

by Air Times News Network

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkul gelaran Universiti Terbaik sempena Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Malaysia ke-37 di Universiti Sains Malaysia, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Komander Kehormat Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM), Prof Dr Abdul Malek Abdul Karim berkata, selain gelaran universiti terbaik, UUM turut merangkul gelaran johan Detasemen Terbaik Perbarisan Pentauliahan Palapes UA dengan menerima Perisai Panglima Tentera Darat dan menjuarai Pertandingan Menembak Kadet Antara Palapes UA.

“Pada istiadat sama juga, tiga pegawai kadet UUM iaitu Leftenan Muda Chan Chya Zhuo, Leftenan Muda Mohamad Faizal Jusoh dan Leftenan Muda Muhamad Aidil Zahir Hussein masing-masing dipilih sebagai Pegawai Kadet Terbaik bagi Palapes Darat, Laut dan Udara.

“Anugerah disampaikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Zulkiple Kassim,” katanya.

Menurutnya, beliau mengucapkan tahniah kepada pasukan Palapes UUM atas kerja kuat mereka sehingga merangkul banyak kejayaan.

Sementara itu, seramai 1,788 pegawai kadet dari 18 universiti awam menerima watikah tauliah sebagai pegawai berpangkat  Leftenan Muda pada istiadat tersebut dan 144 daripadanya adalah Pegawai Muda UUM terdiri 68 Pegawai Muda Palapes Darat, 28 Pegawai Muda Palapes Laut dan 48 Pegawai Muda Palapes Udara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Malaysia ke-37 itu.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Timbalannya, Senator Liew Chin Tong serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin.

Related Articles

Leave a Reply