Home SemasaGlobal PBB kehabisan dana, operasi hospital di Palestin tergendala

PBB kehabisan dana, operasi hospital di Palestin tergendala

by M.Daim

NEW YORK, 23 Ogos – Tatkala umat Islam di seluruh dunia menyambut Hari Raya Aidiladha, Gaza menghadapi krisis bekalan perubatan dan bekalan bahan api yang kritikal. Ketua Politik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Rosemary Di Carlo telah mendedahkan keadaan yang meruncing di Gaza semasa mesyuarat bulanan Majlis Keselamatan PBB, semalam.

Beliau turut mendedahkan bahawa PBB telah kehabisan dana untuk membayar bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan hospital, mengairi tanaman dan kemudahan kritikal lain di wilayah Semenanjung Gaza.

Di Carlo berkata, beliau ‘amat bimbang pembiayaan untuk bahan api kecemasan PBB, yang mengendalikan kira-kira 250 kemudahan kritikal di Gaza kini kehabisan’ dan merayu dana AS$4.5 juta (RM18.46 juta) bagi memastikan kemudahan itu berfungsi sehingga hujung tahun.

Penolong setiausaha agung untuk hal ehwal politik PBB itu juga menyuarakan kebimbangan berhubung ‘kehabisan bekalan kritikal ubatan penting’ selepas 40 peratus stok ubatan habis sepenuhnya.

Gaza menyaksikan kebangkitan keganasan sejak bantahan Palestin bermula akhir Mac lalu disambut serangan Israel, mengorbankan 171 penduduk Palestin.

Wakil PBB, Nickolay Mladenov dan pegawai Mesir berusaha menjadi orang tengah perdamaian antara Israel dan Hamas, yang mentadbir Gaza. Kedua-duanya berjuang tiga peperangan sejak 2008.

Media Israel membuat spekulasi satu perjanjian mungkin membantu melonggarkan sekatan melumpuhkan Zionis di Gaza sebagai pertukaran keadaan tenang di sempadan serta pengembalian mayat dua tentera Yahudi dibunuh pada 2014.

Israel juga menuntut kepulangan dua warganya dipercayai ditahan Hamas.

Pada masa sama, Di Carlo menggesa semua pihak memastikan bantuan kemanusiaan segera sampai ke Gaza.

Related Articles

Leave a Reply