Home Pertahanan dan Keselamatan Pesara tentera penerjun ekstrem tertua negara

Pesara tentera penerjun ekstrem tertua negara

by Nurulhuda

Kuala Lumpur, 19 Ogos – Masih kuat, mempunyai impian dan tetap bersemangat untuk mengharumkan nama negara walaupun sudah berada di usia emas.

Itu yang boleh digambarkan semangat seorang lelaki berusia 64 tahun yang pernah menjadi anggota pasukan elit, Grup Gerak Khas (GGK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membawa nama negara menerusi platform sukan ekstrem iaitu terjunan BASE (Building, Antenna, Span and Earth).

Tidak ramai warga emas seusianya masih bersemangat untuk membawa nama negara di peringkat antarabangsa dan kebiasaannya, golongan berkenaan lebih fokus kepada kehidupan seharian dan kurang memikirkan hal lain.

Bagaimanapun, itu bukan senario bagi Jamaluddin Ismail yang masih mempunyai impian membawa nama negara di persada antarabangsa jika impiannya untuk terjun dari Menara Burj Khalifa, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dapat direalisasikan.

Jamaluddin berkata, jika dia mampu untuk terjun dari menara berkenaan, pastinya dia adalah lelaki tertua selaku penerjun BASE, sekali gus mendapat pengiktirafan antarabangsa.

“Bahaya itu hidup saya. Bukan saya ingin bangga diri atau sebaliknya, namun sejak dari muda lagi saya sudah terdedah dengan bermacam bahaya sehingga saya jatuh cinta dengan sukan terjunan BASE ini.

“Memang saya akui, rindu untuk bertugas menjadi anggota GGK namun saya perlu akur bahawa kini saya hanya seorang warga emas dan sudah berpencen daripada penugasan berkenaan.

“Bagaimanapun, rindu saya dalam untuk menjadi anggota elit sedikit terubat dengan minat sukan terjunan BASE ini yang sememangnya bahaya jika kita tidak bersiap sedia,” katanya yang dipetik Harian Metro ketika ditemui.

“Impian saya ingin terjun daripada puncak menara di Dubai itu dan jika saya dapat capai, Insya-Allah, saya akan dinobatkan sebagai penerjun pelantar (BASE) paling tua dalam dunia.

“Bagaimanapun, saya masih berusaha untuk mencapai impian berkenaan termasuk mengumpul wang serta mencari tajaan. Ia bukan saja pencapaian diri saya sendiri sebaliknya mampu untuk mengharumkan nama Malaysia.

“Sebelum ini, saya banyak melakukan terjunan di bangunan pencakar langit di Malaysia termasuk di Menara Kuala Lumpur. Saya yakin hasil usaha dan latihan tanpa henti dalam arena terjunan BASE ini, saya mampu untuk lakukan di Jamaluddin Ismail” katanya.

Related Articles

Leave a Reply