Home Pertahanan dan Keselamatan Palapes antara kumpulan satria contoh anak muda – Titah Raja Muda Perlis

Palapes antara kumpulan satria contoh anak muda – Titah Raja Muda Perlis

by Nurulhuda

GEORGE TOWN, 18 Ogos – Pelajar universiti yang  menyertai Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) adalah antara kumpulan kesatria contoh anak muda daripada pelbagai kaum dan bangsa yang bukan sahaja berilmu pengetahuan malah mempunyai kemahiran dalam ketenteraan.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pegawai kadet Palapes bukan sahaja menggalas tanggungjawab mempertahankan kedaulatan tanah air, malah membantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menangani apa jua krisis atau ancaman yang berlaku dalam negara.

“Saya merasa begitu berbangga kerana saudara saudari telah memilih menyertai bidang ketenteraan yang merupakan antara profesion yang terunggul di dunia.

“Saya yakin bahawa latihan yang diikuti telah menjadikan saudara saudari lebih berani, tabah, berkeyakinan dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.

“Aspek kerohanian juga perlu diperkukuhkan bersama gabungan empat elemen iaitu akal, rohani, nafsu dan Qalbu serta ungkapan ‘setia kepada negara dan sedia berkorban demi kepentingannya dengan tidak sekali-kali mengenal erti menyerah’ adalah sumpah yang tidak boleh diabaikan.

“Pegawai kadet Palapes juga perlu peka terhadap persekitaran khususnya corak ancaman masa kini dan masa hadapan serta milikilah ilmu pengetahuan berkaitan ketenteraan yang komprehensif dan menyeluruh bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman” titah baginda pada Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet Palapes Universiti Awam Malaysia kali ke-37 di Universiti Sains Malaysia, di sini hari ini.

Seramai 1,188 pegawai kadet Palapes dari 18 buah universiti awam seluruh negara telah ditauliahkan dan daripada jumlah itu, 33 orang daripadanya ditauliahkan sebagai kadet terbaik keseluruhan.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan timbalannya Senator Liew Chin Tong serta Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Related Articles

Leave a Reply