Home Pertahanan dan Keselamatan Hutang negara bukan halangan perkasa aset pertahanan negara – Mohamad Sabu

Hutang negara bukan halangan perkasa aset pertahanan negara – Mohamad Sabu

by Air Times News Network

SABAK BERNAM, 13 Ogos – Masalah hutang negara tidak akan menjadi halangan kepada Kementerian Pertahanan untuk terus berusaha memperkasakan aset pertahanan negara, tegas menterinya Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ini kerana kementerian tidak akan berkompromi dengan sebarang isu berkaitan keselamatan terutamanya di kawasan perairan negara.

“Selagi kita berupaya kita akan cuba perkukuhkan aset pertahanan kita, tetapi masalah kekangan kewangan itu realiti.

“Kita akan cuba melaraskan dalam kekangan kewangan ini untuk meningkatkan keupayaan keselamatan kita termasuk di perairan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri dialog bersama komuniti nelayan sekitar Sekinchan di sini, hari ini.

Turut hadir, Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, anggota Parlimen Sungai Besar Muslimin Yahaya dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Suee Lim.

​​​​​​​Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim baru-baru ini yang menyelar keputusan kerajaan meletakkan aset keselamatan secara berkala di Beting Patinggi Ali, Sarawak.

Shahidan dilaporkan berkata kerajaan Pakatan Harapan tidak sepatutnya menggunakan faktor kekangan kewangan sebagai alasan untuk mengurangkan aset keselamatan di kawasan sempadan perairan negara.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan akan terus mengadakan rundingan bersama pihak berkuasa Indonesia berhubung isu penahanan bot nelayan tempatan.

“Isu penahanan bot ini bukan satu penyelesaian yang mudah, dari 2016 sehingga kini sebanyak 28 bot termasuk lima bot nelayan Sekinchan ditahan pihak berkuasa Indonesia (kerana menceroboh perairan Indonesia).

“Kita akan mengadakan rundingan berterusan bersama agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa di sana untuk memohon supaya bot nelayan Malaysia dikembalikan,” katanya.

Terdahulu kira-kira 100 nelayan sekitar Sekinchan yang hadir ke program dialog itu mengutarakan pelbagai masalah berkaitan termasuk memohon Kementerian Pertahanan membantu mengembalikan semula bot nelayan yang dirampas pihak berkuasa Indonesia. – BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply